Khalid: ‘Saya sendiri kemuka pindaan enakmen selaku MP’

PETALING JAYA, Feb 23 — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad sendiri akan mengesyorkan pindaan terhadap Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 termasuk soal berkaitan dengan kalimah “Allah” tanpa melibatkan kerajaan negeri.

Khalid mengambil keputusan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim di Shah Alam petang tadi.

“Menteri Besar mengesyorkan agar saya yang mengemukakan syor pindaan atas kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam kerana berpendapat kerajaan negeri juga akan dirujuk oleh Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor kemudian, selepas syor dikemukakan.

“Oleh itu, Menteri Besar berpendapat lebih baik saya melakukan ini sebagai wakil rakyat... jadi saya akan menyediakan syor pindaan dengan membentuk jawatankuasa saya sendiri,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider

Katanya memorandum syor akan dikemukakan kepada Sultan Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri sendiri.

Pertemuan kedua-dua Khalid petang ini berlangsung kira-kira 40 minit.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam memberitahu beliau kemungkinan akan menyertakan empat hingga lima tokoh agama termasuk bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

“Ia akan diputuskan dalam seminggu, dua ini,” katanya.

Beliau menemui Menteri Besar Selangor petang ini untuk mendapatkan pandangan sama ada boleh menggerakkan usaha berkaitan saranan kaji semula enakmen atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen atau ditubuhkan sebuah jawatankuasa bersama kerajaan negeri.

Dalam saranan kajian semula itu, Khalid dijangka akan memberi tumpuan ke atas soal penggunaan kalimah “Allah”, kriteria mengeluarkan tauliah menyampaikan ceramah dan kuliah agama di Selangor, garis panduan penyertaan guru dan murid-murid di sekolah agama negeri dan kriteria pelantikan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sebelum ini Khalid pernah mendakwa enakmen itu sudah ketinggalan zaman.

Khalid menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 22 Jan lalu dan baginda menitahkan bahawa tidak mahu isu mengenai kalimah “Allah” berpanjangan sehingga menjadi polemik politik.

Oleh itu baginda menitahkan Khalid mengemukakan syor mengenai pindaan yang difikirkan sesuai sekiranya ada.

Selangor merupakan antara negeri yang mengguna pakai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Ia antara lain melarang orang bukan Islam menggunakan secara bertulis atau lisan 25 perkataan.

Antara perkataan itu adalah, Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, syariat, wahyu, mufti, Kaabah, hadis, rasul, iman, ibadah, fatwa, haji, kiblat, Ilahi, Injil, ulama, khalifah, wali, syeikh, imam dan dakwah.

Bukan Islam juga dilarang menggunakan 10 perbahasan seperti subhanallah, insya-Allah, astaghfirullahlah, masya-Allah dan Allahuakbar sama ada berbentuk lisan ataupun penulisan

Terima Kasih kerana mengunjung. sudi-sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.