Lembaga Disiplin PKR diminta siasat krisis dalaman

PETALING JAYA, 1 Feb - Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberi tempoh sebulan untuk menyiasat dan menentukan tindakan yang akan diambil terhadap tiga pemimpinnya, termasuk dua Ahli Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan pendirian parti.

Ketiga-tiga mereka, iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan untuk merujuk ketiga-tiga mereka kepada Lembaga Disiplin dicapai dalam mesyuarat MPP di sini, semalam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap ahli yang timbulkan masalah kepada parti dan gabungan pakatan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, Zahrain dirujuk kepada Lembaga Disiplin kerana mengkritik keras kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan melabel Lim sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis.

“Kenyataannya (Zahrain) sudah melampau batas. Beliau tidak mempunyai sebab menyerang Lim kerana kerajaan Pulau Pinang berjaya mengurus negeri itu dengan berkesan dalam banyak perkara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPP PKR di Tropicana Golf and Country Resort di sini, semalam. Zahrain, Zulkifli dan Zaid tidak hadir pada mesyuarat itu.

Zulkifli sebelum ini dirujuk ke lembaga disiplin parti kerana tindakannya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah.

Zaid pula dirujuk kepada lembaga itu kerana mempertikai hasil mesyuarat MPP PKR, Selasa minggu lalu yang dianggapnya tidak serius menangani kes Zulkifli.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menafikan dakwaan Zahrain kononnya Lim menyalahguna sistem tender terbuka dengan menganggap ia persaingan sihat untuk kontrak besar dengan kebanyakannya diserah kepada kontraktor Bumiputera.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar menafikan khabar angin kononnya beberapa wakil rakyat PKR mahu berpaling tadah dan menyertai Barisan Nasional (BN).

No comments

Powered by Blogger.