Mentaliti PR Beza Dengan Umno Yang Gemar Politikkan Semua Isu

Oleh Rusnizam Mahat

IPOH, 20 Feb - Ketua Penerangan PAS Pusat Idris Ahmad berkata Pakatan Rakyat tidak akan mempolitikkan kes kemalangan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali kerana ia tidak mencerminkan sikap dan keperibadian tinggi gagasan itu berbanding Umno dan Barisan Nasional yang gemar memanipulasi sesuatu isu walaupun ia bersifat peribadi.

Beliau mengulas kejadian membabitkan Tajol Rosli, yang terlibat dalam kemalangan melanggar seorang penunggang motosikal warga Indonesia sehingga menyebabkan kematian.

Sebelum ini, Umno dilihat cuba mempolitikkan kes kemalangan Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Swee Lim.

Blog-blog pro Umno memainkan isu kemalangan Nizar dengan mengaitkan situasi politik di Perak kononnya ia merupakan balasan dari Tuhan.

Swee Lim pula dituduh memandu dalam keadaan mabuk sehingga berlaku kemalangan melibat seorang pelajar institusi pengajian tinggi.

"Kita lihat sebelum ini Umno cuba nak politikkan berita kemalangan Datuk Seri Nizar dan ADUN Sekinchan, Ng Swee Lim dengan tujuan merosakkan imej Pakatan Rakyat. Tetapi ini bukan mentaliti kita.

"Sebab itu kita minta supaya pemimpin Umno tidak mempolitikkan isu kemalangan yang tidak disengajakan sebegini kerana ini bukanlah budaya kita. Sudah tentulah kita tidak inginkan insiden seperti ini berlaku kerana ia di luar kawalan," ujarnya ketika dihubungi.

Dalam kejadian yang berlaku di KM 28.1 Jalan Kuala Kangsar-Gerik Jumaat lalu, warga Indonesia Rina Kumala, 23, seorang buruh ladang, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan itu pada kira-kira jam 10.55 pagi.

Kemalangan itu dikatakan berpunca apabila Tajol, bersama dua rakannya yang memandu Toyota Harrier gagal mengelak motorsikal tersebut yang membuat pusingan U, selepas mangsa keluar dari simpang jalan utama.

Difahamkan, lelaki itu yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia sejam kemudian ketika mendapatkan rawatan kecemasan di sebuah klinik di Lenggong.

Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Grik untuk bedah siasat.

Terima Kasih kerana mengunjung. sudi-sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.