PKNS berhak tutup jalan

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhak menutup laluan keluar masuk ke dua blok kediaman yang sudah dikosongkan di Taman Keramat di sini.

Ini kerana premis yang terlibat merupakan hak perbadanan itu walaupun tidak menafikan yang tindakan penutupan jalan itu menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Mohd. Wazir Abdul Gani berkata, kesesakan itu sebenarnya berpunca daripada tindakan pengguna transit aliran ringan (LRT) yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan di situ.

Menurutnya, pengguna terbabit tidak mahu membayar caj letak kenderaan jika diletakkan di kawasan yang disediakan dan tindakan mereka ternyata menyusahkan penduduk.

“Namun, kita sudah memaklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai kesesakan akibat kenderaan yang diletakkan di bahu jalan itu.

“Kita juga sudah membuka satu lorong untuk kenderaan keluar masuk iaitu dari Jalan Enggang untuk memudahkan orang ramai berurusan di klinik berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Minggu lalu, Utusan Malaysia menyiarkan keluhan penduduk Taman Keramat mengenai kesesakan di kawasan perumahan mereka yang berpunca daripada penutupan beberapa jalan keluar masuk ke situ.

Penutupan itu menyebabkan penduduk berang kerana mereka terpaksa berdepan dengan kesesakan setiap hari bermula dari hadapan rumah mereka lagi.

Mohd. Wazir berkata, tinjauan yang dibuat oleh PKNS baru-baru ini mendapati, tiada lagi rungutan daripada penduduk selepas satu lagi jalan dibuka di kawasan berkenaan.


Terima Kasih kerana mengunjung. sudi-sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.