Royalti Kelantan - Ku Li Rela Dipecat Dari Umno

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno berhak untuk memecat beliau jika berhasrat untuk berbuat demikian berhubung pendiriannya dalam isu pertikaian Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak.

“Mereka mempunyai segala hak untuk memutuskan apa yang mereka mahukan. Jika mereka minta saya keluar, saya akan keluar. Jika mereka minta saya kekal, saya akan (kekal),” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sesetengah pihak tersinggung ekoran teguran dan pendirian beliau yang tegas berulang kali dalam isu ini, Tengku Razaleigh (gambar) berkata, “siapa yang makan cili dialah rasa pedas.”


Pengasas dan bekas pengerusi Petronas berkata beliau hanya menjelaskan peruntukan dalam Akta Pembangunan Petroelum sejak kebelakangan ini termasuk hak kepada kerajaan negeri Kelantan.

“Ia bukan pendirian saya. Saya tiada apa-apa kaitan dengannya,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, tujuan asal akta itu ialah memastikan negeri-negeri miskin di Malaysia menerima manfaat.

Nasihat beliau kepada Petronas ialah mematuhi peruntukan dalam perjanjian yang ditandatangani dengan negeri-negeri berkenaan.

Awal bulan ini, Tengku Razaleigh berkata tindakan disiplin yang didesak sesetengah pihak dalam parti itu adalah tidak relevan dan Umno boleh mengambil apa sahaja tindakan yang mereka inginkan.

“Apa sahaja (tindakan yang) mereka hendak lakukan ke atas saya adalah tidak relevan,” katanya.

Beberapa pihak dalam Umno menggesa agar parti mengambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh berikutan kenyataannya Khamis lepas yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukannya wang ihsan.

Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pula berkata pucuk pimpinan parti akan meneliti ucapan Tengku Razaleigh itu.

Terima Kasih kerana sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.