Shahrizat Mula Puji Zahrin.

Shahrizat minta rakyat Pulau Pinang tolak DAP

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, hari ini menggesa rakyat Pulau Pinang memberi isyarat jelas bahawa mereka menolak kepimpinan pakatan pembangkang yang diteraju DAP itu.

Beliau berkata, ini kerana berdasarkan perkembangan terkini di negeri itu sememangnya berlaku sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Lim Guan Eng.

Sambil memuji tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang berani tampil mendedahkan situasi sebenar di Pulau Pinang, Shahrizat berkata perkara serupa turut dilapor Wanita Umno negeri itu.

"Saya harap Datuk Seri Zahrain tidak akan tunduk pada tekanan kerana apa yang dikatakannya (Zahrain) itu dan apa yang kita dapat daripada Pergerakan Wanita (Umno) di sana memang betul," katanya kepada pemberita selepas melancarkan tabung untuk mangsa gempa bumi Haiti oleh Skuad Sayang Wanita Umno di sini hari ini.

Sebelum ini, Zahrain yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang melabelkan Guan Eng sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya kerana sikapnya tidak suka dikritik.

Turut menyokong kenyataan Zahrain ialah seorang lagi pemimpin PKR, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng.

Sementara itu Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee, berkata Umno Pulau Pinang harus memberi perhatian serius terhadap tindak tanduk kepimpinan negeri itu yang didakwa sesetengah pihak sebagai mempunyai unsur perkauman.

Syed Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras turut meminta kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya memantau dakwaan itu.

Jika benar ada unsur perkauman dalam pentadbirannya maka KDN boleh mengambil tindakan sewajarnya ke atas Lim, kata Syed Ali menerusi blog umnobahagiancheras.blogspot hari ini. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.