Solidariti Kepada Anwar Tetap Utuh

SHAH ALAM, 8 Februari - Reformis era kebangkitan rakyat 1998 berhimpun di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat malam semalam sebagai tanda solidariti kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muka-muka lama dari segenap negara turun ke Kuala Lumpur untuk menggerakkan semula bantahan massa akan konspirasi baru pemerintah terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Sekali lagi memikul obor rakyat adalah Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar.

“Kita kena ingat kita berhadapan lagi dengan orang jahat di dalam negara ini, Ketua Polis jahat, Peguam Negera jahat, Perdana Menteri jahat. Bukan ayah (Anwar Ibrahim) seorang yang akan terus menerus jadi mangsa tetapi kita semua rakyat Malaysia, sampai anak cucu kita kalau kita biarkan mereka ini pemimpin yang zalim terus menerus berkuasa,”katanya.

Izzah dalam ucapan pembakar semangatnya berkata reformasi bukan mengenai susuk-tubuh Anwar, sebaliknya ia adalah bantahan rakyat kepada sikap pemerintah menghalalkan cara menzalimi rakyatnya sendiri.

Ucapan ini disambut Ketua Angkatan Muda Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Ini bukan peribadi, ini politik. Politik lawan dengan politik jangan kamu libatkan dengan peribadi, kalau libatkan peribadi Datuk Najib tidak cukup dewan kita hendak tulis. Sebab itu saya beritahu ini perbicaraan politik, ini bukan bukan perbicaraan biasa, kalau perbicaraan biasa semua ikut undang-undang. Tetapi kalau perbicaraan politik dia jadi undang-undang rimba,”katanya.

Sehubungan itu beliau meminta semua rakyat mara membenam cara jahat dan zalim yang digunapakai Umno-Barisan Nasional untuk memalukan Anwar melalui media.

“Jangan kita takut dan gentar, kali ini kita berhadapan dengan rakyat yang penuh yakin, laporan perubatan itu menjadi peluru kita. Kita tanya balik kepada orang-orang Umno yang tuduh, yang lakukan fitnah dan pengaiban ini kalau tidak ada benda tidak masuk, adakah berlaku kejadian liwat?

“Itu doktor tulis, dalam laporan itu pesakit (Mohd Saiful bukhari Azlan) mengatakan plastik dimasukkan di dalam dubur saya. Jika kesnya begitu maka ia bukannya liwat bagaimana anda boleh meliwat orang menggunakan plastik boleh anda jelaskan? Hari ini dalam blog dalam Facebook dalam semua media baru yang direka Barisan Nasional kata laporan perubatan ini palsu pula…,”katanya.

Dalam pada itu Timbalan Ketua AMK, Faris Musa berkata konspirasi ini jelas di reka bagi menyekat kemaraan Anwar.

“Kita lihat bagaimana sejarah membuktikan Anwar ibrahim diaibkan, dfitnah, konspirasi yang tertinggi terhadap Anwar bagi menjatuhkan maruah, karier politik termasuk bagi memastikan Anwar akan terus dibenamkan oleh pemimpin Umno yang diketuai oleh Dr Mahathir,”katannya.

Bagi Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin, reformasi menentang kezaliman umno-BN kali ini lebih utuh dengan kehadiran 31 Ahli Parlimen dan 86 Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) yang dimiliki Pakatan Rakyat.

“Jangan cuba bermain dengan kita, dia hendak main kita main dengan dia….jangan cuba jadi kelakar..jangan cuba lawan kita dalam permainan kita..dia pancut kita..kita pancut dia balik..dia kejar kita, kita kejar dia balik..inilah semangat yang kita hendak,”katanya.-YUSMAWATI MHD YUSOF


Terima Kasih kerana sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.