Umno tak anjur perarakan, kenapa Pulau Pinang Di Pertikai?

Pasti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Umno memberikan jawapan kenapa mereka membuat bantahan terhadap isu Perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang sedangkan 3 negeri yang diperintah Umno mengumumkan tidak mengadakan sebarang perarakan.

Bergegar tujuh petala langit bila mendengar Umno begitu nekad dan bersemangat memperjuangan perarakan maulidur Rasul yang umum mengetahui bahawa itu bukanlah sebahagian amalan yang dituntut atau diwajibkan oleh Islam. Kerajaan Pulau Pinang dituduh sebagai cuba menindas orang Melayu dan cuba menafikan hak mereka untuk berarak. Umno menuduh Kerajaan Pakatan cuba melenyapkan syiar Islam dan macam-macam lagi pertuduhan yang bersifat rasis dan melampau.

Akhirnya, kejahilan Umno ditampar oleh jabatan agama di 3 negeri yang mereka perintah sendiri. Jabatan Agama Johor, Pahang dan Perlis memaklumkan minggu lepas kepada wartawan Malaysiakini bahawa mereka tidak akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, kerana ia tidak dituntut oleh Islam.

Mujurlah masih ada Jabatan Agama yang berani untuk menempelak kejahilan Umno ini. Jika tidak Umno akan terus jadi kaduk naik junjung dan menatang penuh kejahilan mereka atas dasar politik dendam kesumat.

Seluruh negara tahu, Umno kini bagai cacing kepanasan selepas kalah PRU-12. Setiap bulan mereka mencari alasan untuk adakan demontrasi seluruh negara. Setiap hari mereka memikir untuk cari isu untuk menghentam Pakatan. Mereka cuba jadi juara rakyat, cuba jadi juara Islam. Setelah modal ‘Melayu’ tidak laku, mereka mereka cuba jual ‘Islam’ untuk kepentingan politik mereka. Tapi rakyat tidak bodoh, Umnolah yang jahil.

Kepada seluruh ahli PAS dan rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama membaca surah yasin supaya Allah memberi hidayah kepada ahli umno sempena meraikan Maulidur Rasul. Rasulullah sepanjang hidupnya tidak pernah berhenti berdakwah, hatta kepada orang munafik dan Fasiq.

PAS yakin, ramai ahli Umno yang semakin cerdik hari ini dan mahu memilih Islam sebagai jalan perjuangan. Mungkin kerana takut hilang kesenangan dunia mereka masih ragu-ragu untuk tinggalkan Umno. Kita bacalah Yasin dan doakan semoga mereka diberikan hidayah untuk tinggalkan Umno dan menyertai perjuangan Islam yang sebenarnya. Tinggalkan perjuangan perkauman yang sempit kerana akhir hidup ini hanyalah liang lahad yang dinisankan dengan tulisan jawi dengan malaikat sedia menanti.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Terima Kasih kerana mengunjung. sudi-sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.