Utusan Sibuk Dengan Kes Saiful, Kebajikan Wartawannya Diabaikan

Di sebalik pemberitaan Utusan Malaysia mutakhir ini yang kerap memutarbelit fakta, melapor propaganda murahan berganda membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan, terselit kisah pilu para pekerja Utusan Melayu yang sudah lama dipendamkan mereka selama ini.

Ekoran itu, difahamkan beberapa wartawan dan pekerja Utusan Melayu telah bertindak mewujudkan sebuah laman portal sosial Facebook yang menggunakan judul - kempen boikot akhbar terbitan Utusan Melayu.

"Utusan Malaysia menjadi agen propaganda kerajaan lagi dalam kes liwat 2, Anwar Ibrahim dan kes royalti minyak membabitkan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah).

"Ia menyalahi etika kerwartawanan dan kami wartawan-wartawan di Utusan Malaysia mengutuk tindakan tidak bermoral ini. Boikot akhbar Utusan Malaysia, jangan jadikan ia sebagai agen propaganda kerajaan bagi mengembalikan prinsip tidak memihak dalam akhbar Utusan Malaysia," tulisan yang termuat di laman itu dipetik sebagai berkata.

Pada laman gambar pula, pengasas laman kempen yang hanya dikenali sebagai 'Pak Nujum' itu menulis: "Beginilah keadaan tempat wartawan Utusan Malaysia bekerja dengan keadaan kerusi rosak, terkopak dan tidak sesuai lagi digunakan serta keadaan meja yang berserabut di mana kabel-kabel komputer berselirat.

PENINDASAN KE ATAS WARTAWAN UTUSAN KETERLALUAN?

"Bayangkan betapa teruknya penindasan yang dilakukan oleh pihak pengurusan Utusan Melayu. Beginikah melayan wartawan Utusan Malaysia yang kononnya berjuang untuk agama bangsa dan negaranya.

Kempen pemulauan Utusan yang dianjurkan kalangan wartawan Utusan itu sendiri dilancarkan sejak 10 Januari lalu.

"Hari ini (10 Januari), adalah hari sedih kerana saya terpaksa melancarkan kempen boikot akhbar terbitan Utusan Melayu, iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo kerana penindasan yang semakin teruk ke atas pekerja Utusan Melayu.

"Saya melihat, dengan cara ini saja dapat membuka mata pengurusan Utusan Melayu yang buta mata telinga, hati dan perasaan. Bantulah Pak Nujum menghentikan penindasan ini," kata pemilik laman sosial itu lagi.

Pada 4 Februari lalu, Utusan melaporkan berita berhubung kes perbicaraan fitnah ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memiliki unsur-unsur memfitnah.

Ekoran itu, Ketua Komunikasi Parti Keadilan Rakyat, Johnson Chong dalam kenyataannya pada hari yang sama berkata beliau akan memfailkan saman ke atas laporan bertajuk 'Tidak rela Diliwat' itu.

Pak Nujum bersama NUJ Utusan Melayu (Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia Utusan Melayu) berkata, pihaknya sudah lama berusaha menjaga kebajikan wartawan, jurufoto dan artis grafik yang bekerja di akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo sebelum ini.

"Perjuangan kami adalah untuk ahli demi ahli agar dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan sempurna," tambah 'Pak Nujum' lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Cawangan Utusan Melayu (NUJ Utusan) Amran Ahmad pernah mendedahkan hal pembaziran Utusan Melayu melibatkan pembelian set tiang gol, termasuk dua tiang dan pagar halangan yang nilainya mencecah RM160,000.

Kes itu diadu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, lalu ia berakhir dengan insiden pemecatan Amran oleh pihak pengurusan akhbar tersebut. -erapakatan -erapakatan

*terima kasih atas kunjungan.bantu lah saya dengan hanya klik di sini. setiap klik membantu blog ini berkembang.

No comments

Powered by Blogger.