YBK tidak bayar cukai, gagal patuhi peraturan – Khalid

SHAH ALAM: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) telah mendengar pembentangan oleh pengarah Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Daerah Hulu Selangor berkenaan tanah di Serendah yang telah diberi milik kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, MMKN telah diberitahu pada pemberimilikan 33 lot tanah seluas 876 hektar (2,164 ekar) kepada YBK telah dibuat oleh kerajaan yang terdahulu pada 24 Oktober 1994.

"Pada November 1995, MMKN pada waktu itu telah meluluskan untuk mengurangkan bayaran premium dari RM10,000 seekar (23 sen satu kaki persegi) kepada RM1,000 per lot (RM15 seekar atau 0.035 sen satu kaki persegi)," kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, pembayaran cukai tanah tidak pernah dijelaskan selama 13 tahun hinggalah pada Ogos 2009 yang lepas dimana YBK telah cuba membuat pembayaran untuk sebahagian daripada jumlah cukai yang tertunggak.

"Pengarah PTG juga memberitahu cara bagaimana YBK membuat permohonan bayaran berperingkat serta cubaan untuk mendapatkan kelulusan merancang tanah yang terlibat secara “fast track”, " terang beliau.

Khalid berkata, Kerajaan Negeri mendapati bahawa YBK telah gagal mematuhi beberapa peraturan di antaranya pembayaran cukai tanah secara berperingkat.

"Dengan itu, MMKN telah membuat keputusan untuk memulangkan semula wang cukai tanah kepada YBK sehingga satu permohonan baru dibuat," jelas beliau.

Beliau berkata, keputusan ini dibuat bagi memastikan kesamarataan dan keadilan dalam pengendalian pengurusan tanah di mana Kerajaan Negeri sebelum ini pernah mengambil tindakan merampas tanah-tanah yang tidak dijelaskan cukainya selama setahun atau lebih.

"Berkenaan dengan usaha YBK dengan Yayasan Melaka, Kerajaan Negeri Selangor berpendapat ini adalah satu isu berasingan dan tidak melibatkan kerajaan negeri. Terpulanglah kepada Yayasan Melaka untuk bekerjasama dengan YBK atau tidak," ujar beliau.

Menurut Khalid, Kerajaan Negeri juga tidak dapat menerima cek yang dikeluarkan oleh Yayasan Melaka untuk menjelaskan cukai tanah milik YBK kerana Seksyen 98 Kanun Tanah Negara jelas menyatakan cukai tanah hanya boleh dijelaskan oleh pemilik tanah itu sendiri.

"Dengan demikian, Pejabat Daerah Hulu Selangor telahpun diarahkan untuk memulangkan cek tersebut kepada YBK secepat mungkin," tambahnya. Menteri Besar itu berkata, "Kerajaan Negeri berharap perkara ini tidak akan berulang lagi dan menyeru kepada semua anak syarikat kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menghormati undang-undang dan peraturan yang ada kerana kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika perlu."

"Perlu dinyatakan disini bahawa segala keputusan yang dibuat adalah untuk memberi keuntungan maksima kepada rakyat negeri Selangor selaras dengan polisi “Merakyatkan Ekonomi Selangor” serta komitmen terhadap ketelusan dan pertangungjawaban dalam pentadbiran Kerajaan Negeri," katanya lagi.

terima kasih atas kunjungan anda ke blog ini.sokong dan bantu lah saya dengan hanya klik di sini. setiap klik membantu blog ini berkembang.

No comments

Powered by Blogger.