AMK Cabar Taib Mahmud Debat Isu Tanah

Oleh Faizal Ezzany

SIBU 13 Mei - Angkatan Muda KEADILAN Sarawak hari ini mencabar Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengadakan debat terbuka bagi membincangkan isu perampasan tanah rakyat dan masalah yang berkaitan dengan tanah di negeri itu.

Surat jemputan debat itu diserahkan oleh Ketua AMK Sarawak, Ahmad Nazib Johari ke pejabat SUPP Sibu dan telah diterima oleh Timbalan Pengerusi SUPP Sibu.

Ahmad Nazib berkata tujuan AMK menganjurkan debat ini adalah untuk mendapatkan penjelasan tentang banyak isu tanah di Sarawak yang gagal diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Taib sejak sekian lama.

"Apa yang kita harapkan Taib Mahmud dapat menyahut cabaran ini kerana rakyat menanti kedatangan beliau. Kita kesal kerana isu ini telah dipolitikkan oleh Barisan Nasional dan lihat bila tiba pilihan raya kecil, barulah kerajaan BN menjelaskan ingin menyelesaikannya. Sedangkan sebelum ini sepanjang BN memerintah tidak pernah ada inisiatif kerajaan BN untuk menyelesaikannya," jelas Ahmad Nazib yang merupakan seorang peguam.

Katanya, rakyat yang membina rumah di atas tanah yang dirasakan milik mereka, tetapi hakikatnya tanah tersebut milik kerajaan negeri yang boleh diambil bila-bila masa sahaja.

Timbalan AMK Pusat, Fariz Musa yang turut hadir menyampaikan surat jemputan debat itu berkata AMK kesal dengan kerajaan negeri yang mempolitikkan isu tanah tiba musim pilihan raya.

"Saya begitu kesal dengan kerajaan negeri yang hanya tahu mempolitikkan isu tanah ini bila waktu pilihan raya sahaja sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah mengambil masalah ini sebagai masalah rakyat.

"Apa yang kita tahu BN bukan menyelesaikan tanah rakyat dengan memberi geran tetapi telah merampas tanah rakyat dan diberikan kepada keluarga dan juga kroni mereka.

"Berkenaan dengan debat ini, saya harap Taib Mahmud tidak menjadi pengecut untuk berada dipentas AMK.

Beliau boleh terangkan secara terus kepada rakyat, disamping itu kita akan kemukakan beberapa bukti tentang pengambilan tanah rakyat oleh pemimpin tertinggi kerajaan negeri," tegas Fariz.

Debat 'Isu Tanah - Kenapa Belum Selesai' anjuran AMK itu akan di adakah di Idaman Cafe, Jalan Sibu pada 15 Mei pukul 9 malam.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.