Anwar fokus tarik pelabur asing

SHAH ALAM – Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan kunjungan sehari delegasi pelabur dari Indonesia sempena lawatan yang dianjurkan Pusat Pelaburan Selangor (SSIC), semalam.

Program sehari ini memberi penekanan khas kepada kerjasama serantau dalam usaha menjalinkan hubungan perniagaan antara delegasi perniagaan Indonesia, wakil anak syarikat dan dewan perniagaan Selangor.

Dalam program semalam, Anwar menerangkan potensi dan kelebihan membuat pelaburan di Selangor kepada hampir 20 peserta delegasi yang diketuai oleh Dr Rahmat Ismail.

Program kemudian diteruskan dengan sesi jalinan perniagaan antara delegasi pelabur dari Indonesia dan wakil pelabur negeri Selangor sebelum delegasi di bawa melawat ke Selangor Science Park 2, Sepang yang merupakan kawasan perindustrian berteknologi tinggi.

Selaras dengan fokus Kerajaan Negeri, Anwar akan meneruskan usaha membawa masuk pelaburan terutamanya dari China, negara-negara Asia Timur Tengah dan Eropah yang telah menunjuk minat yang tinggi terhadap peluang pelaburan di Selangor.

“Jadi kita mulakan dalam satu rangkaian kali ini dengan Indonesia, dalam tempoh dua minggu lagi dengan China. Pelabur khusus dari negeri China yang besar yang akan datang ke Selangor.

“Rasionalnya adalah peringkat perancang dan badan pelabur, memberikan penjelasan dan mengadakan rangkaian langsung dengan sektor swasta. Sebab itu kita mengundang bukan sahaja wakil dewan perniagaan tetapi juga rakan-rakan dari sektor swasta yang berminat," katanya.

Walaupun sedikit terkesan akibat kemelesetan ekonomi global, prestasi pelaburan yang meyakinkan pada 2009 memberi suntikan semangat kepada Kerajaan Negeri untuk terus menggandakan usaha menarik masuk pelaburan baru ke negeri Selangor.

Statistik tahun lepas menunjukkan sebanyak RM6.76 billion jumlah pelaburan di terima manakala lebih 20,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan yang mana merupakan angka tertinggi di antara negeri.

Sementara itu Rahmat berkata, sebagai pengusaha Indonesia, beliau melihat potensi di Malaysia dan Selangor sangat maju di dalam beberapa bidang yang belum ada di Indonesia.

“Mungkin nanti, kita boleh bekerjasama, jadi kedatangan kami ke Malaysia kerana tertarik dengan segalanya ada Malaysia, ada di Selangor,” katanya.SH


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.