Kemenangan DAP petanda positif

SHAH ALAM – Kemenangan calon DAP, Wong Ho Leng dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu kelmarin adalah satu petanda baik untuk Pakatan Rakyat (PR) terutama di negeri Sarawak.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, masyarakat di Sarawak memerlukan satu kerajaan yang dapat memikirkan tentang pembangunan rakyat miskin yang ramai di sana.

“Saya rasa kemenangan ini memberikan satu pemikiran baru dalam politik Sarawak. Bukan sahaja Barisan Nasional (BN) boleh menang di sana tetapi PR juga mempunyai peluang untuk bertanding dan menang di Sarawak.

“Ini terutamanya apabila Dewan Negeri Sarawak akan dibubarkan dalam masa setahun dan ini memberi peluang untuk rakyat Sarawak membuat pilihan,” katanya.

Kelmarin, Ho Leng memenangi kerusi Parlimen Sibu menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi.

Beliau memperoleh 18,845, Hui Yew yang mendapat 18,447 manakala calon bebas, Narawi Haron hanya mendapat 232 undi.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.