Ceramah "Bubar Dun" cara terbaik - Pemuda Kedah

Ali Hashim

ALOR SETAR, 20 Mei: Penganjuran ceramah bagi memberi penjelasan kepada rakyat negeri Kedah dalam isu pembubaran Dun adalah suatu tindakan bijak yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Ini kerana, dengan cara ini, semua pihak dapat mendengar sendiri penjelasan yang diberikan oleh pihak-pihak yang terbabait.

Kerajaan negeri Kedah menganjurkan ceramah khas bertajuk "Dun Kedah bubar?' 22 Mei ini di Markas PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar. Semua wakil rakyat Pakatan Rakyat Kedah dijangka akan berkumpul dan memberikan penjelasan di majlis itu apakah cerita sebenarnya.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahya (gambar), dengan adanya platform sedemikian ia akan memberi peluang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang difitnah akan meninggalkan parti membuat penjelasan sebenar kepada rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Platform khas ini adalah satu ruang yang baik dianjurkan bagi memberi ruang kepada Adun-Adun tersebut untuk memperjelaskan kepada rakyat perkara sebenar yang berlaku dalam isu pembubaran Dun Kedah ini.

"Walaupun kita yakin isu ini tidak mempunyai asasnya tetapi ia telah dimanipulasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi kepentingan politik tertentu.

"Oleh kerana itu dengan kesediaan Adun-Adun tersebut untuk memberi penjelasan secara terbuka maka ia adalah satu tindakan bijak yang harus dihurmati,"katanya.

Ahmad juga menasihatkan Umno dan BN yang menjadi pembangkang di negeri Kedah supaya mengambil iktibar dan pendekatan yang telah dilakukan oleh PAS semasa menjadi pembangkang dua tahun yang lalu dengan menjadi pembangkang yang beretika dalam sesuatu isu yang timbul.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu ceramah khas yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri pada 22 Mei yang akan datang membabitkan Adun PR bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu pembubaran Dun Kedah sepertimana yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak sebelum ini.

Perang saraf BN

Semalam, Harakahdaily menyiarkan penjelasan Setiausaha Politik MB Kedah, Muhamad Sanusi Md Nor, pihak BN membuat perang saraf melalui media untuk menunjukkan ramai wakil rakyat Pakatan Rakyat akan meninggal parti itu. Ekoran itu, katanya, ramai yang terpengaruh dengannya seolah-olah ianya akan benar-benar berlaku.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak (gambar) semalam berkata, beliau bersama para exconya akan keluar negeri tidak lama lagi bagi menunjukkan mereka yakin kerajaan Kedah berada dalam keadaan stabil.

Menurut sumber media pula, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim antara dalang perang saraf ini.

Beliau dikatakan memberitahu wakil media, empat Adun iaitu tiga dari PKR dan satu dari DAP bercadang untuk keluar parti dan menyokong BN.

Sebelum ini, Salehudin sentiasa dilihat bersama dengan wakil rakyat dan pimpinan PKR yang mengadakan sidang media bagi mengumumkan keluar parti.

Sementara itu, sumber PKR pula berkata, Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasutian Ismail kini berada di Kedah bagi mengendalikan fitnah itu.

Saifudin dikatakan telah mendapat arahan khusus dari pimpinan tertinggi PKR untuk mengendalikan isu ini.



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.