Dewan Himpunan Penyokong PAS Buat Umno-BN Makin Kecut

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 17 Mei - Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan melancarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai sayap barunya dalam satu majlis yang akan diadakan di bandar Klang, Ahad ini.

Ia diumumkan oleh Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PAS pagi tadi, di sini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Mujahid Yusuf Rawa dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chow.

Menurut Salahuddin, tujuan utama penaikan taraf Kelab kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS adalah bagi mempertingkatkan hubungan antara pimpinan PAS dengan masyarakat bukan Islam serta membolehkan mereka berkongsi pandangan melalui mekanisme dan saluran yang diiktiraf oleh parti.

"Majlis perasmian tersebut akan disempurnakan oleh Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang.

"Dewan Himpunan ini adalah kesinambungan dari apa yang dikenali sebagai Chinese Consultative Council (CCC) dan Kelab Penyokong PAS.

" Data rasmi merekodkan jumlah ahli berdaftar melebihi 20,000 orang dan menjangkakan tambahan ahli baru selepas perasmian itu nanti.

"Kita juga akan membincangkan kebarangkalian untuk membawa wakil dari Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai calon kita dalam pilihanraya.

"Ini telah kita lakukan apabila Cik Kumutha Raman menjadi calon tajaan PAS di Dun Tiram, Johor pada PRU-12 lalu," jelas Salahuddin.

Dalam pada itu, Mujahid yang mencadangkan Dewan Himpunan itu menjelaskan bahawa Fasal 26 Perlembagaan PAS membenarkan parti untuk menubuhkan sebuah aturan bagi melicin dan memperkembangkan parti.

Ketika ditanya mengenai struktur sayap baru itu, beliau berkata ianya akan berfungsi sama seperti Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat.

"Ahli Dewan Himpunan boleh mengadakan mesyuarat agung, muktamar dan konvensyen mereka sendiri.

"Mereka juga boleh membuat usul dan resolusi dalam persidangan mereka dan akan berfungsi di setiap peringkat sama ada pusat, negeri dan kawasan," tambahnya.

Dalam sidang media itu, beliau memaklumkan bahawa seramai 15 orang wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS akan hadir dalam muktamar yang akan diadakan di Kota Bharu pada 10 hingga 12 Jun nanti.

"Keahliannya tidak terhad kepada penyokong PAS tetapi terbuka kepada semua pihak dengan syarat patuh dan setuju kepada perlembagaan parti," ujar Mujahid lagi.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.