Enjin jet: Saman 5 bekas pegawai TUDM dibuang

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman yang dikemukakan lima bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipecat selepas kehilangan dua enjin jet F-5E TUDM pada 2007.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan kerajaan, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia, yang dinamakan sebagai defendan, membatalkan saman itu.

Terdahulu, beliau mendengar hujahan peguam Mohd Syahril Daud yang mewakili kelima-lima bekas pegawai kanan berkenaan dan Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha yang mewakili para defendan.

Mohd Syahril memberitahu pemberita, mahkamah juga memerintahkan kelima-lima bekas pegawai kanan itu membayar RM7,000 sebagai kos undang-undang kepada para defendan.

Katanya mahkamah bersetuju dengan hujahan para defendan bahawa pemecatan perkhidmatan kelima-lima mereka dibuat mengikut peruntukan statutori Perkara 77, Akta Angkatan Tentera, dan mereka tertakluk di bawah undang-undang awam.

Laporan Bernama menyebut, mahkamah juga memutuskan permohonan untuk mencabar keputusan itu hanya boleh dibuat melalui semakan kehakiman dan bukannya melalui saman pemula, kata Mohd Syahril.

Mahkamah juga memutuskan saman itu tidak boleh diteruskan mengikut undang-undang kerana ia merupakan pelanggaran kepada proses mahkamah dan adalah remeh dan membazirkan masa sahaja.

Mohd Syahril berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada akan mengemukakan rayuan atau tidak.

Lima bekas pegawai kanan itu — Brig Jen Abdul Hadi Abdul Khatab, Mejar Rusli Ibrahim, Mejar Noor Zeelan Draman, Lt Kol Mohamed Ariff Mohd Daud dan Kol Mohamad Sani Sumarnak — memfailkan saman pemula pada 7 Jan tahun ini.

Awal Januari lalu, seorang sarjan TUDM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

N Tharmendran, 42, dari Pangkalan Udara TUDM Subang didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.

Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.

Kelima-lima bekas pegawai kanan itu berkata mereka telah dipecat dan dilucutkan pentauliahan pada Jun 2008 kerana kesalahan tatatertib semasa penyiasatan kehilangan enjin jet berkenaan.

Mereka mendakwa akibatnya, mereka telah diaibkan kerana seolah-olah mereka telah menipu kerajaan, mengakibatkan angkatan tentera dan kerajaan mengalami kerugian kewangan yang besar, berkomplot dengan kontraktor untuk menipu kerajaan dan sebagai pegawai kanan tentera yang tidak amanah.


Mereka juga tidak dibenarkan menggunakan pangkat masing-masing selepas mereka dipecat daripada perkhidmatan.

Masing-masing memohon diisytiharkan pemecatan mereka daripada perkhidmatan dan pelucutan pentauliahan mereka adalah menyalahi undang-undang, cacat dan batal kerana para defendan tidak menyatakan secara spesifik kesalahan tatatertib yang mereka didakwa telah lakukan.

Mereka juga mahu dibayar semua gaji, elaun dan faedah yang mereka berhak dari Jun 2008 sehingga mereka mencapai umur bersara penuh selain daripada ganti rugi antara RM1 juta hingga RM5 juta.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.