KERAJAAN NEGERI MENGUTUK PERBUATAN MENYIMBAH CAT DAN MAHU POLIS JALANKAN SIASATAN SEGERA

KENYATAAN AKHBAR
17 MEI 2010
KERAJAAN NEGERI MENGUTUK PERBUATAN MENYIMBAH CAT DAN MAHU POLIS JALANKAN SIASATAN SEGERA

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri mengutuk perbuatan mereka yang membuat ugutan terhadap Ahli Parlimen Kapar, YB S Manikavasagam dengan menyimbah cat pada kereta dan rumahnya awal pagi Ahad lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru pihak polis agar dapat menjalankan siasatan secara adil dan telus supaya penjenayah terbabit dihadapkan ke muka pengadilan.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar sebelum ini, pihak yang membuat dakwaan rasuah harus tabah menghadapi reaksi negatif seperti saman, ancaman atau ugutan dan berharap YB Manikavasagam bersabar menghadapi dugaan tersebut.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak boleh menerima ugutan jenayah dan berharap mereka yang bertanggunjawab dapat didakwa secepat mungkin. Perbuatan ugutan seperti ini perlu dibendung kerana ia boleh menjejaskan usaha membanteras gejala rasuah,” kata Tan Sri Abdul Khalid.

Menteri Besar juga berkata Kerajan Negeri sedia memberi kerja sama penuh kepada polis dalam menjalankan siasatan dan beliau telah mendapat jaminan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar untuk segera menyiasat jenayah tersebut.

“Ketua Polis Negeri sendiri telah memberi jaminan bahawa perkara ini akan disiasat secara telus. Ketua Polis Selangor juga berterima kasih kepada YB S Manikavasagam kerana menaruh kepercayaan terhadap polis dengan membuat laporan rasmi berhubung kejadian itu,” kata Tan Sri Abdul Khalid.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor komited dengan ketelusan serta kebertanggungjawab dan akan menyokong mana-mana usaha untuk membanteras rasuah di semua peringkat pentadbiran negeri.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.