Kes Aminulrasyid: 2 laporan desak KDN tubuh badan bebas

May 20, 2010

SHAH ALAM, 20 Mei — Dua lagi laporan polis berhubung kes Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati akibat terkena tembakan polis di Seksyen 11 pada 26 April lepas, dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Laporan polis itu masing-masing dibuat oleh kakak Allahyarham Aminulrasyid, Nor Azura, 39, dan Muhamad Hafizzudin Omar iaitu abang kepada Azamuddin yang merupakan rakan remaja itu yang berada bersamanya dalam kereta yang dipandu remaja itu ketika kejadian.

Peguam yang mewakili keluarga Aminulrasyid, N. Surendran ketika ditemui pemberita berkata Nor Azura dalam laporan itu meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan badan bebas untuk menyiasat beberapa kenyataan dikeluarkan pihak polis yang didakwanya seolah-olah bertujuan menutup kes itu.

Surendran yang mengiringi keluarga berkenaan membuat laporan polis itu berkata Muhamad Hafizzudin dalam laporannya mendakwa berlaku cubaan membunuh oleh pihak polis terhadap adiknya Azamuddin kerana melepaskan tembakan ke arah kereta yang dinaiki kedua-dua remaja itu.

Muhamad Hafizzudin juga meminta KDN menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat perkara itu dengan segera, katanya.

Pada 10 Mei lalu, seorang koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung kejadian tembakan yang menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Koperal Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan jika bersabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.