Mahkamah benarkan isteri kedua lawat Sultan Kelantan

KOTA BAHARU, 20 Mei — Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah di sini hari ini membenarkan isteri kedua Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad melawat suaminya, Tuanku Ismail Petra seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 Feb lepas.

Panel tiga hakim iaitu Ketua Hakim Syarie Datuk Daud Mohamad, Hakim Tan Sri Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Hakim Wan Hassan Wan Muhamad membenarkan lawatan itu setelah mengadakan semakan terhadap afidavit dan autoriti dari pihak Elia Suhana, 31, dan pihak Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Daud berkata keputusan penangguhan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 April lepas adalah tidak sepatutnya memandangkan perintah tersebut telah dikeluarkan ke atas isteri yang sah.

Pada 4 April lepas, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memutuskan menangguhkan kes permohonan Elia Suhana bagi mendapatkan hak lawatan kekal bagi melawat suaminya ke 13 Jun.

Penangguhan itu disebabkan Mahkamah Tinggi Syariah mahu permohonan itu didengar selepas kes bantahan awal pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan ke atas Elia Suhana diputuskan pada 23 Mei.

Pada 21 Mac lepas, Elia Suhana memfailkan permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap dirinya yang difailkan seorang wanita Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, sebelum ini.

Sultan Kelantan didakwa telah menjatuhkan talak ke atas Elia Suhana pada 12 Feb lepas.

Pada 4 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini, membenarkan Elia Suhana melawat Sultan Kelantan bagi setiap Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu.

Bagaimanapun Elia Suhana mendakwa dihalang oleh ketiga-tiga defendan iaitu Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawal peribadinya untuk bertemu suaminya dan pada 21 Feb lalu mahkamah mengarahkan ketiga-tiga defendan hadir untuk tunjuk sebab.

Elia Suhana diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan manakala peguam Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Raja Perempuan Kelantan. — Bernama


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.