Masih Belum Berlaku Kekosongan Kerusi Padang Serai - SPR

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

PETALING JAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini berkata, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan masih lagi wakil rakyat yang sah bagi kawasan berkenaan.

“Beliau masih lagi Ahli Parlimen yang sah. Sehingga kini SPR belum menerima apa-apa notis daripada speaker Dewan Rakyat yang memaklumkan berlakunya kekosongan kerusi Padan Serai,” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini yang mengekalkan denda RM3,000 ke atas Gobalakrishnan kerana kesalahan menghalang seorang anggota polis menjalankan tugasnya lapan tahun yang lalu.

Rayuan untuk menggantung keputusan yang diputuskan sebelum ini ditolak oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Aziz menegaskan bahawa Gobalakrishnan hanya berhadapan dengan kemungkinan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya beliau tidak bercadang untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi.

“Sekiranya dia (Gobalakrishnan) tidak bercadang untuk merayu ke Mahkamah Tinggi dan menerima keputusan Mahkamah Majistret hari ini, dia akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

“Berdasarkan peraturan sedia ada, mana-mana wakil rakyat yang didenda lebih daripada RM2,000 maka dengan sendiri beliau akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Pada 29 Januari 2002, Gobalakrishnan didapati bersalah kerana menghalang Chief Inspektor V. Saravanan pada jam 12.20 tengah malam daripada melaksanakan tugasnya sebagai seorang penjawat awam di Jalan Utama, Pulau Pinang.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Jenayah yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga maksimum RM10,000.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.