MP PKR Gobala didenda RM3,000 risiko hilang kerusi

May 14, 2010

PULAU PINANG, 14 Mei — Anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan kini menghadapi risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila beliau hari ini didenda RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini.

Gobalakrishnan (gambar) didapati bersalah mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan terhadap pertuduhan menghalang anggota polis sebagai penjawat awam menjalankan tugas pada tahun 2002.

Majistret Ainol Bashirrah Dona Don Biyajid menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap anggota Parlimen itu.

Gobalakrishnan dituduh dengan sengaja menghalang C/Insp V. Saravanan daripada menjalankan tugasnya di Jalan Utama di sini kira-kira pukul 12.20 tengah malam, 29 Jan 2002. Beliau ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang kira-kira 30 penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada menari ketika sambutan Thaipusam di George Town.

Berdasarkan Perkara 48, Perlembagaan Malaysia, seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakannya apabila telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Anggota Parlimen itu diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu dan dikehendaki membayar denda pada hari ini juga.

Bagaimanapun, Gobalakrishnan dari Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur yang juga seorang ahli perniagaan, yang diwakili Peguam R.S.N Rayer, membayar denda itu dan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, Rayer semasa mengemukakan rayuan, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan Gobalakrishnan seorang anggota Parlimen dan dikenali ramai.

Bagaimanapun, Ketua Unit Pendakwaan Suhaimi Ibrahim pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Gobalakrishnan kerana beliau didapati mempunyai kes-kes lain yang seumpama itu. — Bernama



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.