Menteri nafi pinggir belia Kelantan

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek menafikan belia Kelantan tidak dijemput menyertai sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan yang diadakan di Putrajaya minggu lepas.

Malah, katanya belia dari negeri Kelantan antara yang teramai mewakili negeri ke perhimpunan Hari Belia selama tiga hari di Pusat Konvensyen Putrajaya bermula 14 Mei lepas.

Beliau berkata lebih 150,000 belia menyertai perhimpunan itu dan mengambil bahagian dalam pelbagai acara, termasuk larian serta futsal dengan mewakili negeri masing-masing.

"Semua belia dari seluruh negara dijemput ke perhimpunan itu mewakili pertubuhan yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia dan jemputan tidak dibuat melalui kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung berkelompok cawangan-cawangan Umno dalam bahagian Tumpat malam tadi.

Beliau diminta mengulas dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Abdul Fatah Mahmood yang kecewa kerana menurutnya Kelantan tidak dijemput menyertai majlis sambutan Hari Belia Negara 2010 peringkat kebangsaan.

- Bernama


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.