TPM selewengkan peruntukan kerajaan untuk program politik BN Juara Rakyat?

Kenyataan Media:
Dr Lo'lo' Hj Mohamad Ghazali

Saya difahamkan TPM Tan Sri Dato Hj Muhyiddin Mohd Yassin merangkap Pengerusi BN Wilayah Persekutuan akan melancarkan program BN Juara Rakyat pada esok hari Sabtu 22 Mei 2010 di PPR Perkasa, Jalan Cochrane KL yang terletak di Parlimen Titiwangsa.

Pada hemat saya UMNO/BN boleh saja mengadakan program-program mereka bersama rakyat, cuma dari apa telah berlaku sebelum ini UMNO/BN seringkali menggunakan kemudahan dan peruntukan kerajaan untk program politik mereka.

Sebagai contoh lebih sebulan yang lalu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menganjurkan Karnival Kerjaya yang memperalatkan segala kemudahan dan peruntukan dari DBKL dan Kementerian Sumber Manusia yang diakui sendiri oleh Timbalan Menteri KSM Dato Maznah dalam jawapan kepada persoalan ini yang saya timbulkan dalam sesi parlimen yang lalu. Malah pada sebelah malamnya pihak polis dengan sewenang-wenangnya telah membenarkan ceramah politik oleh Pemuda UMNO iaitu bekas TKM Pulau Pinang sdra Firdaus, Lokman Adam dan beberapa orang lagi yang lain.

Saya menjangkakan UMNO/BN sekali lagi akan melakukan tindakan tidak bermaruah dengan memperkudakan semua kemudahan kerajaan pusat yang sudah tentu melibatkan kos yang tinggi dengan penganjuran program besar-besaran seperti yang diwar-warkan melalui sebaran medianya dimana peruntukan untuk prasarana sudah pastilah datang dari DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta lain-lain sumber agensi kerajaan. Ini adalah jangkaan saya berdasarkan 'track record' sebelum ini.

Selaku Ahli Parlimen Titiwangsa saya mewakili seluruh rakyat Titiwangsa yang prihatin dengan ketelusan dan pengurusan serta pentadbiran kerajaan yang baik (Good Governance) menyeru TPM agar mengadakan program parti politik UMNO/BN atas inisiatif dan dana UMNO/BN sendiri, bukannya menumpang dana kerajaan yang merupakan wang pembayar-pembayar cukai. Buktikan UMNO/BN memang "mahu berubah" seperti slogan-slogan yang dilaung-laungkan. Buktikan seperti kata-kata pemimpin UMNO terutama mantan-mantan PM yang mahu rakyat khususnya ahli-ahli UMNO tidak terus-menerus memerlukan tongkat atau sokongan untuk berdiri, ataupun adakah UMNO/BN akan terus dengan mentaliti subsidi, mentaliti 'daddykasi'.

Saya yakin rakyat tidak rela dan tidak menghalalkan cukai yang mereka bayar dan hasil mahsul negara digunakan untuk kepentingan politik UMNO/BN. Jika PAS, PKR, DAP dan seluruh parti komponen PR mampu mengadakan program dengan dana dan inisiatif sendiri tidak ada sebab UMNO/BN tidak mampu melakukan jika benar-benar mahu berubah.

Kepada seluruh penduduk PPR Perkasa Cochrane esok 22 Mei, anda akan menjadi saksi penyelewengan buat kesekian kalinya pemimpin peringkat tertinggi UMNO/BN terhadap dana kerajaan yang merupakan wang rakyat. Anda semua nilailah apakah pemimpin begini yang akan terus dikekalkan untuk menerajui negara pada PRU13.

Dr Lo'Lo' bt Hj Mohamad Ghazali
Ahli Parlimen Titiwangsa


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.