Model Ekonomi Baru Tidak Pro-Rakyat

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM 14 Mei - Pelan Model Ekonomi Baru yang akan dibentangkan dalam belanjawan tahun ini akan membebankan lagi rakyat yang berpendapatan rendah kata Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Dr Toh Kim Woon.

Dr Toh mendedahkan beberapa isu serius perlu diteliti dan dikaji sebelum meneruskan perlaksanaan MEB.

Antara kesan yang paling kritikal ialah kekurangan tenaga kerja mahir di Malaysia bagi menampung keperluan untuk tenaga kerja mahir dalam bidang industri untuk MEB.

"Kekurangan tenaga mahir disebabkan oleh kejatuhan kualiti pendidikan yang drastik akibat campurtangan politik di institusi pengajian tinggi dan juga kerana penghijrahan besar-besaran pekerja profesional ke luar negara," kata Dr Toh pada forum mengenai MEB anjuran Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) dan Pusat Perkembangan Budaya LLG.

Forum yang dihadiri oleh empat pakar ekonomi tersebut bertujuan memberikan kesedaran terhadap kesan implementasi MEB kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.MEB merupakan satu pelan rombakan ekonomi bagi mengganti model pelan yang lama bagi memulihkan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Seorang lagi panelis, Profesor Shanthi Tambiah dari Jabatan Kajian Jantina Universiti Malaya, menyuarakan kebimbangan kerana kepentingan wanita dalam MEB tidak begitu menyerlah, malah keperluan pekerja wanita juga tidak diberi perhatian yang secukupnya.

"Kebajikan pekerja wanita, jika dijaga dengan sempurna boleh memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi kerana keputusan pembelian kaum wanita secara individu lebih besar dibandingkan dengan kaum lelaki," kata Prof Shanthi.

Beliau menambah, kekurangan unsur kebajikan pekerja wanita dalam MEB boleh menjejaskan bekalan tenaga kerja dan juga akan mengurangkan permintaan barangan runcit dan wanita yang mana memberikan sumbangan besar kepada ekonomi.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.