Hishammuddin Peluk Tubuh Krisis Dalam PDRM

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 14 Mei - Srikandi KEADILAN menuntut reformasi dan perubahan dalam sistem urustadbir dan kaedah penguatkuasaan dalam institusi polis di negara ini ekoran beberapa kejadian terbaru yang melibatkan kecuaian polis sehingga menimbulkan kekecohan dan kecelaruan dalam masyarakat.

Ketua Srikandi, Siti Aishah Ismail melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan terbaru berhubung tatacara penggunaan api terhadap orang awam oleh anggota polis.

Minggu lalu kejadian tembakan rambang menimpa seorang remaja, Mohd Azizi Aziz yang menunggang motosikal di Seremban sehingga menyebabkannya cedera parah.

Beliau didakwa melarikan diri dari kenderaan peronda polis dan ditembak di perut sehingga menembusi ususnya.

Tidak lama sebelum itu polis turut dikaitkan dengan keganasan apabila menyerang remaja, Mohd Nazmi Annuar yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menyertai program anjuran exco kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.

Kejadian tersebut berlaku tidak sampai seminggu daripada insiden tembakan yang menyebabkan kematian remaja 14 tahun, Aminulrasyid Amzah.

"Kami mendesak agar perubahan dan rombakan dilakukan segera terhadap institusi polis bermula daripada peringkat dasar dan undang-undang agar mereka yang terlibat dengan kesalahan tatatertib dan jenayah dibicarakan secara telus dan adil," kata Siti Aishah.

Insiden tembakan rambang, serbuan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku menunjukkan budaya kerja semberono dan tidak mengikut lunas undang-undang.

Polis juga dilihat culas dengan mengelak daripada bertanggungjawab apabila terdapat laporan kesalahan yang melibatkan anggotanya.

Beliau turut melahirkan kekesalan apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilihat bersikap lepas tangan terhadap krisis yang melanda badan penguatkasa tersebut.

Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilihat tidak mengambil tanggungjawab apabila gagal untuk mengawal anggotanya dari melakukan kesalahan prosedur sehingga menyebabkan kejadian yang membahayakan nyawa orang ramai.

Reformasi dalam institusi polis di negara ini amat penting agar dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi polis dan mengembalikan rasa selamat kepada setiap individu yang tinggal di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Aishah memaklumkan bahawa Srikandi KEADILAN sedang merangka program bagi menambah ahli dan merancang acara sepanjang tahun sebagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak.

Terbaru, seramai 14 orang anggotanya menyertai kursus sekolah politik anjuran Institut Kajian Dasar yang diselenggarakan oleh pengarahnya, Khalid Jaafar.

Program dua hari di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu itu merupakan siri ke empat yang melibatkan generasi muda terutamanya wanita muda bagi memberi kefahaman berkaitan nilai dan struktur organisasi politik.

Beliau turut mengalu-alukan golongan wanita muda untuk bersama memperjuangkan nasib golongan itu dengan menghubunginya di emel, syaomel85@gmail.com


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.