Muhyiddin Tertipu Dengan Propaganda Media Umno-BN

SHAH ALAM 17 Mei - Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali berkata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabel KEADILAN sebagai 'parti kian runtuh' tertipu dengan propaganda media milik Umno-Barisan Nasional sendiri apabila kecundang secara mengejut di kubu kuat mereka di Sibu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno terlampau percaya kepada propaganda media Umno-BN yang membesar-besarkan dakyah terhadap Pakatan Rakyat sehingga rakyat menolak mereka pada pilihan raya kecil P212 Bandar Sibu semalam.

"Memang diakui imej KEADILAN terjejas sedikit oleh tindakan beberapa ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang melompat.

"Mereka ini adalah anasir buruk dalam parti yang bermasalah diri dan tidak pernah membuat kerja dan mereka ini akan diganti dengan calon yang berwibawa dalam PRU-13 nanti," ujar Dr Syed Husin.

Menurut Dr Syed Husin, tindakan keluar parti pihak terbabit tidak mempunyai makna dibandingkan dengan peristiwa dua mantan Presiden Umno, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn yang mengisytihar diri mereka keluar Umno sebelum ini.

"Dakwaan kononnya anggota KEADILAN keluar parti secara beramai-ramai tidak benar sama sekali.

"Malahan ribuan ahli Umno yang bertindak keluar parti lebih ramai semenjak Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar ibrahim disingkirkan dari Umno dan diaibkan dengan tuduhan liar," tegas beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas isu bekas Ketua Cabang Ipoh Barat Fauzi Muda, Dr Syed Husin berkata tindakan Fauzi itu dialu-alukan dan pengumuman tersebut membolehkan cabang Ipoh Barat bersatu di bawah pimpinan yang lebih komited.

"Tidak lama dulu Fauzi telah membuat akuan sumpah menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang beliau temui berjanji hendak memberinya wang tetapi sekarang secara tiba-tiba beliau pula mengumumkan keluar parti," tambah Dr Syed Husin.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.