'Sibu, Jom Ubah' Sungkurkan SUPP-BN Di Kubu Kuat Sendiri

Oleh Faizal Ezzany

SIBU 17 Mei - Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menyifatkan kemenangan Pakatan Rakyat Sarawak pada pilihan raya kecil Sibu semalam sebagai lonjakan paradigma rakyat yang kini sedar dan menolak amalan rasuan dan penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional sejak lima dekad lalu.

Beliau berkata rakyat Sibu sudah bersuara dan memutuskan untuk mebuat perubahan berani dengan menyahut cabaran slogan calon DAP, Richard Wong Ho Leng, 'Sibu, Jom Ubah'.

"Kejayaan kali ini adalah kerana kesedaran rakyat Sibu yang sudah benci dengan pemerintahan Barisan Nasional, mereka jua tidak mahu lagi dipermainkan dengan pelbagai janji manis yang tidak pernah ditunaikan," kata Zuraida.

Zuraida berkata Sibu sebagai kubu kuat SUPP-BN sejak sekian lama akhirnya tersungkur di tempat sendiri walaupun BN menyalahguna seluruh agensi dan jentera yang dikerahkan turun membantu berkempen bagi pihak mereka.

Tamparan hebat di terima BN apabila terdapat peningkatan undi dikalangan masyarakat Melayu-Melanau dan Iban.

"Ini belum lagi melihat kempen agresif yang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyalahguna wang rakyat untuk sogokan projek 'mee segera' bagi memancing undi rakyat Sibu.

"Rakyat mula yakin dengan kemampuan dan kepimpinan Pakatan Rakyat apabila mereka melihat kejayaan kita di Semenanjung. Mereka mahu jadikan Sibu sebagai landasan untuk Pakatan Rakyat terus menguasai Sarawak pada pilihan raya negeri yang akan datang.

"BN tersungkur di tempat mereka sendiri dan mereka jangan ingat kekuasaan mereka untuk selama-lamanya kerana rakyat yang tentukan siapa yang mereka mahu.

"Rakyat sudah tidak termakan umpan mereka sebab mereka sedar umpan BN tidak ikhlas dan hanya janji politik seperti yang mereka lakukan selama ini," jelas Ahli Parlimen Ampang itu.

Zuraida juga mahu DAP buktikan kesungguhan Pakatan Rakyat dengan memberi perkhidmatan yang lebih baik dari BN sebelum ini terutamanya terhadap kawasan majoriti Melayu.

"Kawasan Melayu menunjukkan peningkatan undi kali ini dan kerana itu Wong Ho Leng perlu mengambil langkah segera bagi membuka mata rakyat mengenai apa yang kita janjikan kepada mereka. Tindakan pro-aktif boleh mempengaruhi reaksi pengundi pada pilihan raya negeri akan datang.

"Suara rakyat Sarawak di parlimen kini sudah bertambah dan rakyat mulai memerhati kemampuan kita, jadi peluang yang singkat untuk menghadapi pilihan raya negeri mahupun pilihan raya umum nanti perlu digunakan sepenuhnya," kata Zuraida lagi.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.