Najib Terpaksa Turun Selamatkan SUPP

Oleh Faizal Ezzany

SIBU 11 Mei - Kebangkitan Pakatan Rakyat di Semenanjung dan juga penerimaan penduduk Sibu terhadap gagasan itu telah menimbulkan kerisauan kepada SUPP-Barisan Nasional sehingga terpaksa menggunakan khidmat Perdana Menteri dalam kempen pilihan raya kecil kali ini.

Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook menjelaskan Pakatan Rakyat sekarang sudah bangkit memberi tentangan kepada BN.

"Di Semenanjung Pakatan Rakyat sudah kuat tetapi di Sarawak belum lagi kuat. Kita lihat di Semenanjung BN tidak boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu kerana kita sentiasa menentang mereka. Tetapi di sini berlainan mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu sehingga janji pembangunan dibiarkan begitu sahaja.

"Atas perkembangan sokongan Pakatan Rakyat inilah BN terpaksa membelanja sejumlah wang yang besar untuk menarik undi dari rakyat dan ini dilihat satu kebaikan untuk rakyat. Berikan kemenangan kepada calon Pakatan Rakyat, bermula dari situ BN akan sentiasa menyalurkan peruntukan dan juga projek bagi mengembalikan sokongan kepada mereka.

"Biasanya dalam pilihan raya kecil mereka hanya menghantar Timbalan Perdana Menteri sahaja tetapi kali ini tidak, BN tidak lagi percaya dengan kemampuan Timbalan Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri yang perlu datang," kata beliau semasa berucap di bilik gerakan utama PAS di Kampung Hilir semalam.

Kata Loke BN mengganggap Sarawak ini adalah simpanan tetap mereka sehingga BN boleh melakukan apa saja.

Beliau mahu rakyat Sibu menilai apa makna disebalik tanggapan simpanan tetap tersebut.

"Rakyat Sibu perlu tahu BN mengganggap Sarawak ini sebagai simpanan tetap mereka sehinggakan mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Mereka boleh janji tapi tidak ditunaikan, peruntukan diluluskan di Parlimen dengan nilai jutaan ringgit tetapi apa kemudahan disediakan untuk rakyat.

"Ini yang rakyat perlu sedar bahawa rakyat tidak boleh diperbodohkan lagi, kalau janji mesti ditunaikan bukan hanya janji palsu. Jangan biarkan kita terus ditindas sesuka hati mereka, kita mesti pastikan perubahan berlaku kali ini.

"Ingat kemenangan di Sibu amat penting kerana kita semua tidak mahu BN mendapat kemenangan majoriti di Parlimen, bila mereka memperolehi kemenangan majoriti mereka boleh melakukan dan meluluskan apa-apa sahaja walaupun yang mereka luluskan itu memberi tekanan kepada rakyat," kata Loke lagi.

Beliau menyeru rakyat agar lakukan perubahan demi kebaikan, selagi BN memerintah Sarawak selagi itulah rakyat ditindas tanpa pembelaan dan pembangunan.

"Saya menyeru rakyat Sibu buat perubahan dalam lanskap politik, selagi BN berada di Sarawak selagi itulah rakyat ditindas tanpa pembelaan.

"Untuk kebaikan bersama pilih calon Pakatan Rakyat dari DAP kerana kali tak ada persaing BN tidak akan lakukan apa yang telah mereka janjikan tetapi bila ada persaingan BN tidak akan duduk diam dan mereka akan buat bila berjanji," kata Loke.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.