Orang ramai diminta jangan pertikai tugas polis – Musa

SERDANG 3 Mei – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak mempertikaikan tugas polis berikutan insiden seorang remaja Aminulrasyid Amzah yang mati akibat terkena tembakan polis pada Isnin lepas.

Beliau berkata, polis mempunyai tugas dan tanggungjawab bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara dalam membanteras jenayah.

"Apa yang mereka (NGO) nak cakap itu hak mereka dan tunggu sehingga siasatan kita selesai. Saya mahu menjalankan siasatan secara adil untuk mencari keadilan,” katanya.

Musa berkata demikian kepada pemberita selepas melawat anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Sarjan Roslan Bachik, 49, di Hospital Serdang yang patah kaki kanan akibat dirempuh penunggang motosikal yang cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya petang kelmarin.

Beliau berkata, kes-kes yang melibatkan anggota polis sehingga mengalami kecederaan atau kematian dalam menjalankan tugas langsung tidak mendapat perhatian daripada NGO atau masyarakat.

"Sebagai contoh kes yang melibatkan seorang anggota trafik kita kelmarin sehingga patah kaki kanan, ini disebabkan oleh anak orang yang ”baik-baiklah” sehingga jadi macam ni,” tegasnya.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu oleh remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor.

Rakan remaja itu sempat melarikan diri. – Bernama

1 comment

azman kamarul said...

Banyak lah temberang nya...bukan lah nak campur tangan sangat...tapi dah menjolok tahi mata dah......

Powered by Blogger.