Kenyataan Rasmi Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

ISU PENYERAHAN DUA BLOK PENGELUARAN MINYAK LUAR PANTAI KEPADA BRUNEI

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan respon berkenaan penyerahan dua blok pengeluaran minyak luar pantai di Laut Cina Selatan – Block L dan Block M – kepada kerajaan Brunei. Ini berikutan pendedahan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad di dalam blognya dengan merujuk kepada laporan The Edge Financial Daily (22 April) dan Brunei Times.

2. Menurut Tun Dr. Mahathir, jumlah kerugian di dalam bentuk perolehan yang terpaksa ditanggung oleh Malaysia berjumlah AS$100 billion (RM320 billion).

3. DPPNK ingin melahirkan rasa kesal yang teramat sangat ekoran kecuaian Kerajaan Malaysia di dalam rundingan diplomatik ini sehingga mengakibatkan jumlah kerugian yang begitu besar terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia.

4. Persoalan yang timbul ialah mengapakah pemimpin negara boleh melakukan rundingan yang secara jelas merugikan Malaysia. Jika pemimpin negara boleh menafikan hak rakyat Kelantan di dalam isu tuntutan royalti minyak sebanyak RM2 billion, nampaknya mereka dengan senang hati melepaskan RM320 billion kepada pihak lain.

5. DPPNK dengan ini menuntut penjelasan daripada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan isu ini memandangkan ketika mesyuarat kabinet pada 11 Februari 2009 yang memberikan persetujuan terhadap pelepasan dua wilayah ini, YAB Perdana Menteri ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri. Kegagalan YAB Perdana Menteri membuat satu penjelasan yang boleh memuaskan hati rakyat mengesahkan bahawa pimpinan UMNO / Barisan Nasional tidak prihatin terhadap kepentingan dan kedaulatan negara.

6. DPPNK juga menuntut satu siasatan dibuat bagi menyiasat ketelusan rundingan yang merugikan Malaysia tersebut.

Sekian, wassalam.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 19 Jamadil Awal 1431 / 3 Mei 2010

No comments

Powered by Blogger.