PAS Mohon Campur Tangan Majlis Raja-Raja Melayu

oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 24 Mei - PAS menyerahkan memorandum bantahan kepada Majlis Raja-Raja Melayu bagi memohon campur tangan berhubung kelulusan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 oleh Kementerian Kewangan 11 Mei lalu.

Memorandun tersebut diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah oleh naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mengetuai rombongan Ahli Parlimen PAS ke Istana Negara.

Mahfuz berkata inisiatif tersebut dilakukan sebagai usaha memerangi budaya songsang yang menggalakkan budaya judi yang boleh memudaratkan umat Islam dan rakyat Malaysia.

"Ini merupakan kelulusan lesen pertaruhan kedua yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semenjak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan.

"Sebelum ini beliau telah meluluskan lesen cabutan khas pada tahun 2009. Saya merasakan judi sukan ini tidak hanya terhad kepada pertandingan Piala Dunia, tapi mungkin melibatkan liga-liga Eropah seperti di England, Sepanyol dan Jerman," kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau turut memaklumkan tokoh-sukan bola sepak seperti Datuk Ghani Minhat dan Datuk Che Nat Jusoh turut menentang kelulusan lesen judi sukan.

Beliau memohon Majlis Raja-Raja Melayu agar dapat membincangkan perkara ini dalam Persidangan Majlis Raja-Raja yang bakal diadakan pada 26 Jun ini yang akan dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Mahfuz mendedahkan firma kewangan Maybank Securities merekodkan jumlah transaksi harian berjumlah RM850 juta berkaitan pertaruhan yang dilesenkan.

"Saya jangkakan jumlah tersebut akan meningkat kepada RM1.7 Billion apabila lesen pertaruhan baru ini 'dihalalkan'," ujarnya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengingatkan antara sebab utama Majlis Ulama Umno keluar dari pertubuhan tersebut pada tahun 1951 dan menubuhkan PAS adalah kerana pimpinan Umno pada masa itu ingin meluluskan penjualan loteri kebajikan.

"Antara tokoh Umno yang keluar pada masa itu termasuklah bapa kepada Dr Lo' Lo', Almarhum Datuk Haji Mohd Ghazali dan bapa kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah, iaitu Haji Ahmad Badawi," kata Khalid.

Beliau turut mempersoalkan hujah ekonomi oleh kerajaan bahawa dengan pemberian lesen kepada aktiviti pertaruhan akan dengan sendirinya menggurangkan sindiket perjudian haram.

"Jadi, adakah kita perlu menghalalkan yang haram seperti meluluskan lesen dadah untuk membanteraas penagihan dadah atau meluluskan lesen pelacuran untuk mengurangkan pelacuran?," soal Khalid lagi.

Beliau beranggapan hujah songsang begini akan lebih memudaratkan moral individu dan institusi keluarga di negara ini.

Turut sama dalam penyerahan memorandum termasuk Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Titiwangsa,Dr Lo' Lo' Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Nawawi dan Senator Siti Zailah Yusof.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

1 comment

Pak Oncu said...

pemimpin PAS lu jgn buang masa ,,, lebih baik hangpa semua pikir macam mana nak ke PUTRA JAYA selepas PRU 13 nanti,,,,, lu jgn nak buek gimik bingai !!!!!!!!!!

Powered by Blogger.