Rakyat Sibu Digesa Guna Peluang PRK Buat Perubahan

Oleh Faizal Ezzany

SIBU 9 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan, Dominique Ng berkata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memegang tampuk negeri selama lebih 30 tahun gagal melaksanakan perubahan ekonomi dari sudut pembangunan negeri terutama di Sibu.

Beliau menjelaskan walaupun Taib Mahmud selalu menggunakan politik pembangunan untuk meraih sokongan rakyat namun hakikat sebenar memperlihatkan perkara yang sebaliknya.

Politik memperkayakan keluarga dan kroni telah menjadi darah daging pemimpin Barisan Nasional yang terlalu lama memegang kuasa sehingga mereka merasai kuasa yang dimiliki melebihi segala-galanya.

"Taib Mahmud selalu memainkan politik pembangunan di Sarawak tetapi yang peliknya walaupun negeri ini merupakan negeri yang paling kaya tetapi rakyatnya adalah yang termiskin.

"Apakah ertinya pembangunan jika rakyat diabaikan tanpa pembelaan. Pembangunan di Sarawak ini jika dibandingkan dengan Semenanjung kita jauh terkebelakang 20 tahun. Pengagihan kekayaan negeri tidak dilakukan sama rata antara rakyat dengan kerajaan, apa yang mereka lakukan adalah membantu keluarga sendiri ataupun kroni mereka.

"Inilah politik kotor yang pemimpin Barisan Nasional amalkan, mereka tidak pernah mengambil berat tentang rakyat apa yang mereka tahu hanya ingin mengaut kemewahan untuk diri sendiri," jelas Dominique kepada Suara Keadilan.

Beliau yakin dengan cara pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor sepanjang tempoh dua tahun yang dibuktikan melalui pelbagai program kebajikan dilaksanakan untuk rakyat.

"Saya yakin dengan pemerintahan Pakatan Rakyat sepanjang tempoh pemerintahan selama dua tahun, kerajaan Selangor tidak pernah mengabaikan kepentingan rakyat dan saya lihat banyak program dilakukan untuk rakyat Selangor yang turut sama mengecapi kekayaan negeri.

"Saya percaya kerajaan Pakatan Rakyat akan menjadi kerajaan yang lebih baik dari Barisan Nasional.

Sebelum pilihan raya umum ke-12, rakyat Sarawak tidak begitu yakin dengan Pakatan Rakyat dan tanggapan itu sudah berbeza sekarang, rakyat sudah yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat.

"Kita cukup yakin dengan wujudnya Pakatan Rakyat di Sarawak ini bukan sahaja orang Cina yang menyokong DAP tetapi kaum lain seperti Melayu Melanau termasuk Iban akan menyokong calon dari DAP.

"Jika DAP memenangi kerusi Parlimen Sibu ini, ia dapat mengoncang kubu kuat Umno-Barisan Nasional yang juga merupakan 'fixed deposite' kepada kerajaan BN," tegas Dominique lagi.

Beliau menyeru rakyat Sibu melakukan segera perubahan tersebut dan pilihan raya kecil Sibu adalah peluang terbaik untuk merealisasikannya.

"Rakyat Sibu jom ubah dan perubahan mesti bermula dari Sibu, rakyat Sibu mesti kedepan dalam membawa isyarat perubahan kepada seluruh rakyat di Sarawak. Pembangunan hanya berlaku di bandar luar dari Sibu dan jika rakyat inginkan pembangunan maka buatlah pilihan yang tepat. Ingat keluarkan BN dari Sibu baru semuanya akan tercapai," kata beliau.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.