Sibu Hantar Isyarat Kepada BN Jangan Buli, Tipu Rakyat Lagi

Oleh Faizal Ezzany

SIBU 17 Mei - Ahli Parlimen Sibu, Wong Ho Leng yang akan mengangkat sumpah pada awal Jun berbangga dengan kesungguhan rakyat Sibu yang sanggup berkorban demi melakukan perubahan besar dalam mencorak arena politik Sarawak.

Beliau yang menemui media sejurus diumumkan sebagai ahli parlimen yang baru bagi Sibu memberitahu kemenangan pilihan raya kecil kali ini adalah satu sejarah yang besar.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi kerana telah berani menbuat perubahan demi kebaikan semua rakyat di Sibu. Ini adalah satu sejarah besar yang telah dilakukan oleh rakyat Sibu.

"Ini juga merupakan isyarat kita untuk terus menawan Sarawak pada pilihan raya negeri nanti dan juga merupakan tangga untuk kita menawan Putrajaya.

"Kepada pemerintahan Tan Sri Taib Mahmud kemenangan ini menunjukkan dinasti pemerintahannya telah menemui pintu keluar untuk beliau. Rakyat telah memberi isyarat kepadanya untuk dia terus bersiap untuk meletak jawatan.

"Pakatan Rakyat telah bersama mendekati rakyat sepanjang dua minggu yang lalu dan kita telah berjaya menangkis serangan Barisan Nasional yang telah menggunakan wang sebagai rasuah politik mereka dan juga segala jentera agensi kerajaan yang telah dikerah.

"Ini adalah hikmat yang kita perolehi jika kita terus bersatu dalam setiap perjuangan yang berprinsipkan keikhlasan. Kejayaan yang kita perolehi cukup manis untuk kita kecapi bersama," kata Wong di luar pusat perjumlahan undi di Dewan Suarah.

Wong berkata sejarah telah dicipta di Sibu dan BN tidak lagi boleh menganggap Sarawak sebagai penyelamat dan simpanan tetap mereka.

"Sejarah untuk Malaysia bermula 16 Mei 2010 dan ini merupakan sejarah untuk Sarawak bagi kita takluki sepenuhnya. Sibu sebagai pengerak kejayaan untuk kita merampas Sarawak.

"Mulai sekarang tiada siapa lagi boleh mempermainkan rakyat Sarawak, kita akan pastikan pembelaan mereka terus terbela selamanya. Saya ingin katakan kejayaan DAP adalah kejayaan rakyat Sibu, Sarawak dan juga Malaysia.

"Saya berjanji akan terus berbakti kepada rakyat Sibu sama ada mereka mengundi saya atau pun tidak. bagi yang tidak mengundi saya, saya mahu mengambil peluang yang diberi untuk menjadi kawan kepada mereka dan semoga mereka akan mengundi saya pada pilihan raya akan datang. Ini adalah perjuangan saya untuk rakyat Sibu sepenuhnya.

"Khidmat saya untuk rakyat sepenuhnya, rakyat telah bekerja untuk saya sepanjang kempen dan sekarang saya pula akan bekerja untuk mereka. Terima kasih Sibu menyahut cabaran perubahan," janji beliau.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.