SPRM ambil 2 dokumen konsesi balak Kelantan

KOTA BARU, 23 Mei — Sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil dua dokumen membabitkan syarikat konsesi balak daripada Jabatan Perhutanan Kelantan.

Pasukan yang terdiri daripada empat pegawai SPRM dari Putrajaya itu tiba di Kompleks Kota Darul Naim, dekat sini kira-kira pukul 10 pagi dan keluar pada pukul 3.30 petang dengan membawa dokumen penting dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes pembalakan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Datuk Abdullah Sani Shaffie ketika ditemui berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM yang datang ke pejabatnya selama hampir lima jam setengah dengan menyediakan fail dan dokumen yang diperlukan SPRM.

“Mereka datang untuk mendapatkan dokumen penting (membabitkan syarikat pembalakan) dan tadi mengambil dua fail membabitkan dua syarikat konsesi balak,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk membantu SPRM melaksanakan proses siasatan dengan memberikan maklumat diperlukan. agaimanapun, Abdullah Sani enggan menjawab pertanyaan pemberita berhubung kes yang berlaku sehingga menyebabkan SPRM menjalankan siasatan itu.

“Pada saya, ini hanya prosedur biasa, kalau ada orang buat aduan, mereka (SPRM) tentu akan datang untuk menjalankan siasatan, saya tiada masalah jika SPRM datang, kami sentiasa memberikan kerjasama penuh seperti diminta.

“Kita hanya menyediakan fail yang diminta, kita sedia membantu dan kalau mereka nak (meminta dokumen), memang kita akan bagi,” katanya.

Ditanya sama ada kemungkinan pegawai SPRM itu kembali semula ke pejabatnya untuk mengambil fail atau mendapatkan maklumat berkaitan selepas ini, Abdullah Sani berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sekiranya diminta berbuat demikian.

“Kita sedia memberikan kerjasama jika diminta berbuat demikian. Kita dah biasa dengan perkara ini, malah sejak saya memegang jawatan Pengarah di sini, sudah dua atau tiga kali SPRM datang (untuk mendapatkan maklumat),” katanya. — Bernama


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.