Umno: Jangan sampai kemelut MIC jejaskan komponen BN

TEMERLOH, 23 Mei — Kemelut kepimpinan yang melanda parti MIC pada masa ini akan memberi tempias kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata sebarang isu yang menghantui MIC hendaklah diselesaikan segera bagi mengelakkan masalah dalam parti itu akan memberi kesan buruk kepada BN.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan Umno dalam Bahagian Temerloh di Mentakab hari ini, katanya walaupun Umno tidak berniat untuk campur tangan dalam kemelut yang melanda parti itu tetapi apa yang berlaku dalam parti tersebut sekarang boleh menjejaskan kestabilan BN.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan MIC untuk menyelesaikan masalah parti berkenaan.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan mendesak supaya Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berundur lebih awal, bukan lapan atau sembilan bulan dari tarikh penggalnya tamat pada Mei 2012.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Naib Presiden Umno bersalam dengan ahli-ahli Umno selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan Umno dalam Bahagian Temerloh — Gambar Bernama
Berikutan tindakannya itu, Mugilan dipecat daripada MIC. Mohd Shafie berkata penyelesaian kemelut dalaman MIC itu sekali gus dapat memulihkan semula keyakinan rakyat kepada BN.

“Kita sedang melakukan tranformasi dalam BN dan pemulihan krisis yang berlaku dalam MIC akan mempercepatkan lagi proses transformasi yang sedang kita lakukan ini,” kata beliau dipetik Bernama.

Semalam Mugilan mengumumkan penubuhan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang akan beroperasi bagi mendesak Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden parti. Mugilan, yang juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor berkata GAS akan mengadakan perhimpunan pertamanya pada Ahad depan dan menyasarkan penyertaan kira-kira 7,000 penyokong.

Malah, semalam Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menggesa MIC menyelesaikan masalah dalamannya secepat mungkin agar ia tidak melemahkan jentera BN.

Gesaan ini dibuat ketika BN sedang berusaha untuk pulih daripada prestasi buruk dalam pilihan raya umum 2008.

No comments

Powered by Blogger.