Syed Husin: Umno-BN mula karam, bukannya PKR

May 17, 2010

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Timbalan Presiden PKR Senator Dr. Syed Husin Ali membidas kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mengatakan bahawa Umno-BN yang sebenarnya semakin “karam” bukan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beberapa jam selepas kenyataan Muhyiddin itu Pakatan Rakyat, yang turut dianggotai PKR merampas kerusi Parlimen Sibu malam tadi menerusi calon DAP.

“Biarkanlah beliau (Muhyiddin) percaya dengan propaganda sendiri yang dibesar-besarkan oleh media yang mereka kuasai.

“Akhirnya beliau dan pimpinan Umno juga yang akan tersentak oleh hakikat yang sebenar,” kata beliau mengulas kenyataan Muhyiddin semalam bahawa PKR kini sudah semakin hilang sokongan apabila semakin ramai pemimpin dan penyokong parti itu dilihat mula meninggalkan parti berkenaan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat juga semakin sedar bahawa parti itu hanya memperjuangkan individu tertentu sahaja dan tidak memberi faedah langsung kepada rakyat.

“PKR? Parti Kian runtuh?.. setiap hari ada batu batan yang jatuh dan runtuh, sebahagian besar pemimpin yang sokong PKR dahulu juga sudah hilang keyakinan, parti itu tidak berjuang untuk rakyat tapi untuk individu,” katanya.

Syed Husin mengakui imej PKR sedikit terjejas oleh tindakan beberapa orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang melompat katak.

“Memang diakui imej PKR sedikit terjejas oleh wakil rakyat yang melompat tetapi mereka adalah anasir-anasir buruk dalam parti yang mempunyai banyak masalah selain tidak membuat kerja.

“Kita yakin bahawa mereka pasti akan digantikan dengan calon-calon yang lebih berwibawa dalam pilihan raya akan datang.

“Pemergian mereka sangat kecil bila dibandingkan dengan peristiwa Tunku dan Tun Hussein keluar Umno dan meninggal di luarnya,” katanya.

Beliau berkata bilangan anggota PKR yang keluar jauh lebih kecil dari ribuan ahli Umno yang keluar.

“Tentang apa yang didakwa “anggota-anggota” yang konon keluar beramai-ramai, kami telah semak dan dapati kebanyakan mereka bukan anggota.

“Walau apapun, bilangan anggota Keadilan yang keluar jauh lebih kecil dari ribuan ahli Umno yang keluar setelah Anwar Ibrahim disingkir, dizalami dan diaibkan.

Minggu lalu Ketua PKR Ipoh Barat Fauzi Muda mengumumkan keluar parti dan mendakwa cabang berkenaan juga bakal dibubarkan apabila lebih dua pertiga ahli jawatankuasa akan turut mengikut jejaknya.

“Fauzi serta suku-sakatnya memang telah lama menjadi duri dalam daging dan tindakan beliau keluar sangat dialu-alukan.

“Sekarang cabang itu boleh bersatu di bawah pimpinan yang lebih komited.

“Dulu Fauzi telah membuat surat sumpah menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditemuinya berjanji hendak memberinya lebih banyak wang,” katanya.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.