Bukan Islam boleh guna lambang PAS tanding PRU

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Calon-calon bukan Islam akan berpeluang bertanding menggunakan lambang PAS dalam pilihan raya umum akan datang, usaha terbaru parti itu mengiktiraf sokongan masyarakat bukan Islam.

Peluang ini akan menjadi realiti dengan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS, yang dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS.

Dewan itu akan dilancarkan Sabtu ini oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada pilihan raya umum 2008, PAS meletakkan calon bukan Islam di Johor tetapi bertanding menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengerusi Lajnah Perpaduan PAS Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata berdasarkan tujuan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS adalah untuk badan ini mencadangkan nama-nama bakal calon pilihan raya jika diminta oleh PAS pusat.

“Jika mereka diminta mencadangkan beberapa nama untuk dipertimbangkan dan dicalonkan, Dewan Himpunan Penyokong PAS ini boleh mengemukakan nama,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

“PAS telah menjadi sebuah parti yang terbuka dalam konteks calon yang selama ini hanya diperuntukkan kepada calon beragama Islam sahaja... jadi ini satu kelainan yang ketara, dulu tiada,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata peruntukan ini tersedia ada dalam peraturan Dewan Himpunan Penyokong PAS.



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.