Anwar Mohon Mengadap Sultan Johor Berhubung Isu Chua Jui Meng

SHAH ALAM 11 Jun - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memohon untuk mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhubung isu gelaran dua 'Datuk' yang ditarik balik daripada mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng.

Anwar dalam 'tweeter'nya pagi tadi menulis beliau terkejut dengan tindakan tersebut tetapi Jui Meng yang mendapat berita itu mengambil pendekatan untuk bertenang.

Semalam, Jui Meng yang juga Ahli Majlis Pimpinan KRADILAN Pusat menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Istana Johor, Datuk Rahim Ramli yang meminta beliau memulangkan semula pingat kebesaran yang dikurniakan kepadanya.

Jui Meng menerima dua anugerah itu yang diberikan oleh Sultan Johor terdahulu, Almarhum Sultan Mahmud Iskandar .

Gelaran tersebut iaitu 'Datuk Paduka Mahkota Johor' dan 'Seri Paduka Mahkota Johor'

Tidak ada sebarang alasan yang diberikan dan beliau diberitahu pihak istana tidak perlu mendedahkan alasan sebenar tindakan tersebut.

Semalam, ketika dihubungi oleh Suara Keadilan, Jui Meng berkata beliau sudah mengetahui daripada sumbernya bahawa Umno berhasrat untuk berbuat demikian.

"Saya yakin ini bukannya tindakan Sultan Johor. Ini adalah tindakan keji Umno-BN yang takutkan peranan saya mengetui 'taskforce' Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan negeri Johor pada pilihan raya akan datang.

"Saya diberitahu bahawa Menteri Besar (Tan Sri Abdul Ghani Othman) memberitahu kepada beberapa rakan saya dalam Umno beliau mengertak mahu menarik balik anugerah dua 'Datuk' daripada saya. Saya percaya ini satu bentuk tekanan ke atas saya sejak saya menyertai KEADILAN dan hakikat ini tidak boleh diterima oleh Umno dan BN.

"Secara peribadi saya rasa tindakan ini agak menyedihkan saya kerana saya memang rapat dengan Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa mengiktiraf sumbangan saya bukan sahaja kepada negeri Johor tetapi juga negara tetapi kurang daripada setahun kemangkatan baginda perkara ini berlaku," kata Jui Meng ketika dihubungi.

Beliau juga tertanya-tanya mengapa dan apakah kesalahan beliau sehinggakan pihak istana mahu menarik gelaran dan pingat itu secara tergesa-gesa.

Tambahnya, setakat ini beliau yang akan berangkat pulang daripada Langkawi ke Kuala Lumpur hari ini belum lagi menerima surat rasmi dari pihak istana Johor berhubung isu itu.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.