Dua minggu peluk Islam kena tangkap basah

KULIM - Seorang wanita Orang Asli yang baru dua minggu memeluk Islam, ditangkap kerana disyaki bersekedudukan dengan lelaki Bangladesh.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi ke atas sebuah rumah di Taman Mahsuri di sini yang dibuat atas maklumat awam. anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) mendapati sepasang lelaki dan wanita berada di dalam sebuah rumah menyebabkan mereka terpaksa ditahan.

“Dari soal siasat, lelaki itu didapati beragama Islam manakala pasangannya yang berusia 24 tahun, baru dua minggu memeluk Islam,” kata seorang pegawai PADK.

Pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk membuat laporan dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah syariah mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara setahun.

Menurutnya sepanjang minggu ini, lebih lima pasangan berjaya ditangkap dan kesemua mereka sedang menunggu tarikh pendakwaan yang akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Syariah Kulim.

“PADK bukan sahaja menjalankan tangkapan terhadap pasangan yang berada dalam keadaan berkurung tetapi menahan mana-mana pasangan yang tidak mempunyai hubungan mahram bersama selepas jam 12 tengah malam,” katanya.

Pegawai berkenaan menasihatkan kepada ibu bapa agar memberikan perhatian terhadap anak-anak terutama remaja perempuan supaya tidak terlalu bebas bergaul.

“Sekiranya kita dapati sesiapa juga melakukan perlakuan sumbang, PADK tidak ada pilihan lain selain menahan dan mendakwa mereka di mahkamah. Dari rekod PADK, kebanyakan pasangan bawah umur atau remaja yang ditangkap khalwat selalunya datang dari keluarga bermasalah. Ada antara mereka datang dari keluarga berpecah belah akibat perceraian.

Ini mengakibatkan kehidupan mereka tidak dikawal. Selain itu, sikap ibu bapa yang tidak mempedulikan gerak geri anak mereka memberi peluang kepada golongan ini melakukan maksiat,” katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa kes di mana PADK mendapati pelajar bawah umur mengandung dan sudah melahirkan anak namun ibu bapa mereka tidak membuat laporan polis kerana kononnya bagi mengelak maruah keluarga tercalar.

“Sudah jadi begitu, tahu pula nak sorok. Mereka harus ingat, bagi kes mana-mana perempuan melahirkan anak tanpa nikah, mereka boleh didakwa dan didenda sehingga RM5,000”katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.