Anwar: Tarik balik lesen judi Piala Dunia

SERDANG - Judi kini tidak boleh lagi dikaitkan dengan masyarakat Cina sebagai salah satu budaya mereka kerana golongan berkenaan sudah sedar keburukan gejala itu, kata Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, hal ini dibuktikan dengan bantahan besar-besaran lesen pertaruhan bola sepak Piala Dunia termasuk oleh golongan bukan Islam sehingga Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui Lim Guan Eng turut enggan mengeluarkan lesen premis bagi aktiviti itu.

“Yang saya hairan, mengapa Kerajaan Pusat Barisan Nasional (BN) yang diterajui orang Islam pula keluarkan lesen judi Piala Dunia. Apabila kita bantah dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bukan Islam turunkan tandatangan, wakil rakyat BN yang Islam pula enggan. Apa sudah jadi?” katanya ketika menyampaikan pidato perdana di Dewan Serbaguna Serdang di sini.

Anwar berkata, bantahan terhadap judi adalah bukti masyarakat Cina yang sering dikaitkan dengan kegiatan itu sebagai salah satu budaya mereka, kini sudah bangkit dengan serius menangani isu keruntuhan akhlak.

“BN atau UMNO tidak ada alasan lagi. Orang bukan Islam pun tidak mahu (judi), mereka pula yang sebaliknya mahu,” katanya disambut gelak tawa hadirin yang seramai kira-kira 1,000 orang. Turut hadir pada ceramah itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Yaakub Hussain dan Yang Dipertua Pas Kulim Bandar Baharu, Hassan Abdul Razak.

Anwar berkata, selain judi, masalah arak juga yang sering dikaitkan dengan masyarakat bukan Islam, kini tidak boleh lagi menjadi isu bagi BN atau kerajaan.

“Apabila kita letak Datuk Zaid Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, UMNO mainkan isu konon calon Parti Keadilan Rakyat pernah minum arak. Mereka edar gambarnya dan macam-macam. Tapi itu dulu.

“Dia sudah taubat dan janji tidak akan terlibat lagi dengan perbuatan itu. Itu sudah bagus. Saya nak tanya kepada pemimpin UMNO, apakah mereka juga berani mengatakan mereka tidak pernah sekalipun minum arak?,” katanya.

Sehubungan itu, kata Anwar, UMNO atau BN tidak harus menjadikan golongan bukan Islam sebagai benteng untuk mereka mempertahankan kegiatan yang bercanggah dengan hukum moral.

“Kerana itu, judi bola sepak Piala Dunia yang diluluskan Kerajaan BN perlu ditarik balik,” katanya.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.