Lesen judi sukan: GMJ mahu pertingkat tekanan

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan mempertingkatkan usaha mendesak kerajaan memansuhkan judi sukan ekoran pendirian terbaru Kementerian Kewangan proses pelesenan masih dalam peringkat pertimbangan termasuk mahu menjana maklum balas rakyat.

Sambil menyifatkan kenyataan terbaru kerajaan semalam sebagai kejayaan rakyat, Setiausahanya Suhaizan Kaiat berkata perhimpunan 3 Julai ini akan diteruskan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS berkata, tindak balas daripada rakyat seperti ceramah, demontrasi, penyerahan memorandum dan larangan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan telah memberi isyarat yang jelas bahawa rakyat tidak bersetuju dengan kelulusan lesen judi sukan yang telah lama diluluskan oleh pihak kerajaan.

Oleh itu kata beliau, kerajaan bukan sahaja perlu membatalkan hasrat untuk memberi lesen kepada Ascot Sports Sdn Bhd, malah wajib membatalkan lesen judi sukan sepenuhnya.

“Sebenarnya tekanan rakyat ini telah berjaya menghalang pihak kerajaan memberi kebenaran kepada syarikat Ascot menjalankan operasi judi sukan semasa kejohanan bola sepak piala dunia yang akan berlansung pada Jumaat ini.

“Ini merupakan kejayaan 50 peratus rakyat Malaysia untuk memansuhkan judi sukan.

“Tahniah rakyat Malaysia... Rakyat Malaysia perlu melaksanakan baki 50 peratus lagi usaha mendesak pihak kerajaan memansuhkan judi sukan yang telah lama diluluskan melalui Himpunan 100,000 pada 3 Julai ini,” katanya.

Beliau berkata, tekanan perlu dipertingkatkan bagi memastikan “pecutan terakhir ini” berjaya memansuhkan judi sukan yang boleh membawa kesan buruk khususnya kepada anak-anak muda di negara ini.

Sehubungan itu kata beliau, GMJ bersedia pada bila-bila masa menyahut seruan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk memberikan pandangan kepada pihak kerajaan bagi membenteras perjudian tanpa lesen yang berleluasa di negara ini.

“Walau bagaimanapun bukanlah pendekatan yang bijak bagi sebuah kerajaan yang kononya sebuah negara Islam meluluskan judi sukan yang bertentangan dengan semua agama di dunia ini,” katanya.

Dalam jawapan bertulis semalam, Kementerian Kewangan berhubung lessen judi telah menyatakan bahawa kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.

Kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat dan terima pelesenan dengan syarikat terbabit bagi menjalankan operasi pertaruhan di negara ini.

Kerajaan sedang mendapatkan maklum balas dan pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di negara ini.

“Walau bagaimanapun menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, lesen itu bukanlah lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada syarikat berkenaan.

“Secara ringkasnya telah memberi maksud bahawa lesen judi sukan sememangnya telah lama diluluskan tetapi masih dalam perbincangan untuk menganugerahkan kepada syarikat Ascot,” kata pemimpin pemuda PAS itu.

“Kerajaan sedang menunggu maklum balas daripada pelbagai pihak sebelum menganugerahkan kepada syarikat terbabit,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.