Kohilal: Pengurusan lemah punca rugi

KOTA BHARU- Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengakui kelemahan dalam pengurusan koperasi Al- Hilal Berhad (Kohilal) antara punca yang menyebabkan syarikat tersebut mengalami kerugian dalam perniagaannya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III bagaimanapun menyangkal terdapat unsur penyelewengan berlaku dalam pengurusan koperasi itu sehingga menyebabkan ia gagal membayar dividen kepada ahlinya sebagaimana yang dijadualkan.

“Masalah ini melibatkan pengurusan iaitu silap pelaburan dan perkiraan perniagaan, bila buat pelaburan yang tidak kena maka berlaku kerugian, inilah risiko yang terpaksa ditanggung dalam perniagaan,” katanya selepas merasmikan Seminar Halalan Toyyiban Kelantan 2010 di sini, semalam.

Kelmarin, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak Pas mendedahkan kedudukan wang berjumlah RM45 juta yang dilaburkan oleh ahli-ahlinya melalui koperasi Kohilal yang ditubuhkan pada 1986.

Ibrahim berkata, banyak dakwaan timbul mengenai kewujudan skandal dalam koperasi berkenaan menyebabkan skim pelaburan itu hanya mampu membayar dividen yang terlalu sedikit dan kali terakhir pada 1997 kepada ahlinya.

Mohd Amar berkata, operasi Kohilal kini dibekukan dan dalam proses untuk menstrukturkan kembali organisasinya sekali gus memulihkan kembali perniagaannya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, masalah yang berlaku kepada Kohilal sudah lama berlalu dan tidak perlu dibangkitkan oleh Ahli Pasir Mas itu.

“Ibrahim ini tak da kerja, habis dia usik. Apa yang jelas, sekarang sedang buat struktur baru dan pemulihan, kita kena bagi masa,” katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.