Mengenali pemimpin dan kepimpinan

Oleh - Dr. Aminudin Mansor

Secara umumnya, pemimpin adalah orang yang memimpin, memberikan pedoman atau petunjuk. Setiap orang adalah pemimpin kepada individu yang di bawahnya. Sebagai contoh seorang suami pemimpin kepada isteri dan anak-anaknya, guru pemimpin kepada anak muridnya, pemimpin politik pemimpin kepada rakyat atau pengundi di kawasannya. Apa yang lebih penting kita adalah pemimpin kepada diri sendiri.

Ciri-ciri pemimpin mestilah jujur, ikhlas, berterus terang dan sanggup berkorban kepada orang yang dipimpinnya. Kepimpinan adalah keupayaan, kebolehan dan pencapaian dalam pimpinannya. Hasil daripada pimpinan atau bimbingannya akan membuktikan kebolehan seseorang pemimpin. Namun untuk menjadi pemimpin yang baik, seseorang itu perlu belajar menurut dan dipimpin terlebih dahulu.

Justeru, kepimpinan membawa makna keupayaan mempengaruhi kegiatan orang lain atau sesuatu kumpulan untuk mencapai hasrat dan matlamat yang ditetapkan. Melalui kepimpinan akan dapat mengerakkan orang lain untuk berfikir, merasa dan bertindak dengan cara tertentu. Kepimpinan akan lebih berkesan jika pengikut mempunyai nilai dan inspirasi yang sama dengan pemimpin.

Teori kepimpinan berkait dengan bentuk perlakuan. Kajian daripada pelbagai teori banyak memperkatakan tentang pende-katan sifat, perlakuan, perhubu-ngan manusia, situasi dan matlamat. Karisma ialah daya penarik seseorang pemimpin yang menjadikannya berupaya mempengaruhi orang lain, iaitu meliputi sifat lahiriah dan kualiti tertentu pada diri seseorang.

Menurut Adolf Hitler, seni kepimpinan adalah meneguhkan tumpuan rakyat pada ancaman musuh dan memastikan tiada apa yang boleh mengganggu tumpuan itu. Kata-kata ini seharusnya menjadi renungan dan panduan kepada pemimpin, terutama ahli politik negara ini. Jika rakyat berpecah, pemimpinlah yang bersalah dan patut disalahkan. Perpecahan bukan sahaja memberi peluang kepada musuh dalam negara, malah dari luar.

Menurut Joe Namath, untuk menjadi pemimpin anda mestilah mampu menyebabkan orang lain mahu mengikut anda; tetapi tiada siapa akan mengikut anda jika mereka tidak tahu ke mana anda menghala. Oleh itu, wawasan dan tujuan pemimpin mestilah jelas, tidak kabur tanpa arah tujuan.

Bagaimanapun, fenomena masa kini banyak pemimpin yang mahukan orang lain mengikut mereka, tetapi mereka tiada arah untuk dituju selain kepentingan politik peribadi dan ingin mencari kekayaan duniawi; sedangkan kepimpinan seseorang pemimpin yang serba boleh dalam era globalisasi sangat diharapkan banyak orang dalam negara ini.

Masyarakat sekarang lebih matang melalui pengalaman. Pemerhatian mereka terhadap tingkah laku pemimpin dapat mengenali hati budi pemimpin berkenaan. Melalui mata hati dan akal yang bijaksana pemimpin dapat dinilai kejujurannya.

Jika ditinjau pendapat Ralph Nader, seorang pemimpin harus mempunyai misi dan keyakinan yang misi itu boleh dicapai. Dia akan menggerakkan kuasa dan semangat untuk mencapainya. Begitulah misi dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, iaitu 1Malaysia, “Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Rakyat sedang menunggu ke arah itu. Kuasa dan semangat akan menentukan kejayaan misi tersebut.

Sebagai renungan; Pablius Cornelius Tactus pernah berkata, pemimpin mestilah berpandangan jauh dan tegas; itulah kualiti yang perlu ada pada seorang pemimpin. Pandangan jauh dan tegas perlu dalam soal mempertahankan agama, bangsa dan negara daripada dirosakkan dan dijajah semula. Pemimpin yang cuba merosakkan agama, bangsa dan negara wajar ditolak.



* Penulis ialah penyair, bekas pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.

No comments

Powered by Blogger.