SOALAN: Selain isu pemberian lesen judi untuk mengendalikan perjudian Piala Dunia pada Jun ini, isu berkait Islam yang banyak ditanyakan adalah perlantikan Peguam Syarie dari kalangan bukan Islam. Apakah terdapat larangan khusus atau keharusan berkaitannya di dalam Islam? Mohon diulas.

JAWAPAN: Saya kira isu ini memerlukan perbincangan lanjut dengan lebih terperinci khususnya yang membabitkan peruntukan undang-undang dan yang berkait dengannya. Selain itu, perkara berkait nas syarak dan kesan positif serta negatifnya juga perlu diteliti bagi memperoleh keputusan paling konkrit serta wajar. Artikel ini hanyalah sekelumit perbincangan yang berkaitan, ia ditulis dalam bentuk agak ringan untuk pembacaan awam. Ia tentunya tidak cukup untuk menetapkan pendirian terbaik namun saya kira cukup untuk memberikan sedikit jawapan dan rujukan untuk perbincangan yang lebih mendalam dan ilmiah. Jika kita menelusuri khazanah ilmu Islam terdapat beberapa perkara boleh dijadikan rujukan iaitu:

1. Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. “Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan,” (al-Maidah: 8).

Ayat ini secara jelas mengarah umat Islam menegakkan keadilan dan kebenaran dalam apa juga penilaian dan hukuman yang dijatuhkan. Justeru, menjadi objektif syariah, apa saja perkara harus (yang tiada larangan khusus) boleh mendekatkan kepada keadilan akan turut dibenarkan.

Dalam konteks ini, demi menegakkan keadilan dalam pemutusan hukum syariah di mahkamah, tentunya hakim mestilah seorang Muslim malah mempunyai syarat tertentu tambahan pula. Saya kira, adalah jelas hakim di Mahkamah Syariah MESTILAH dan WAJIB seorang MUSLIM. Namun status peguam, bagi saya mereka HANYALAH pelaksana atau bidang kuasanya terhad seperti pegawai eksekutif saja, bukan pemutus. Malah semua hujahnya dalam dakwaan atau pembelaan terhadap anak guamnya belum tentu diterima oleh Hakim Syarie.

Perbicaraan pula boleh dibuat secara tertutup. Justeru tidak timbul persoalan, peguam terbabit akan menyelewengkan nas al-Quran atau hadis, kerana sebarang penyelewengan akan ditolak oleh hakim dan peguam lain. Maka dalam konteks itu, saya melihat tiada masalah bagi seorang Peguam Syarie walau dari kalangan bukan Muslim. Ia hampir sama dengan situasi perbankan dan kewangan Islam hari ini yang dipenuhi dengan pengurusan tertinggi serta eksekutif yang bukan beragama Islam.

Namun tentunya, mereka diperlukan mempunyai beberapa kriteria dan kelayakan tertentu untuk menduduki jawatan di sektor kewangan Islam khususnya ilmu dan pengetahuan di dalam hal ehwal hukum syariah di dalam bidang Fiqh Muamalat. Apa yang tidak wajar atau TIDAK DIBOLEHKAN adalah bukan Muslim menjadi ahli Majlis Penasihat Syariah di mana-mana institusi kewangan Islam.

Ini kerana, jawatan itu memerlukan kriteria seperti hakim di Mahkamah Syariah yang perlu menghayati Islam dalam ilmu, kehidupan dan keimanan di hati. Alhamdulillah setakat ini, masih belum ada mana-mana individu atau ilmuan bukan Islam yang dilantik menjadi ahli penasihat syariah. 2. Allah SWT juga mengingatkan: “Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta putusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka.


“Jika kamu berpaling dari mereka maka mereka tidak akan memberi mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil,” (al-Maidah: 42).

Ayat berkenaan menunjukkan mahkamah Islam sentiasa sedia menerima mana-mana individu bukan Islam untuk mencari keadilan atau mendapatkan hukuman terbaik di atas pertikaiannya berdasarkan syariah.

Justeru, dalam konteks memberikan pembuktian, mengemukakan hujah, sudah tentulah individu bukan Islam itu BEBAS untuk berhujah di mahkamah (jika dia tidak diwakili oleh mana-mana peguam). Keadaan ini secara langsung menjelaskan bahawa mahkamah Islam menerima hujah dari individu bukan Islam sama ada atas nama pendakwa, tertuduh dan sekali gus peguam yang mewakili anak guamnya.

>Bersambung pada keluaran depan

ustaz zaharuddin

No comments

Powered by Blogger.