200 Pengikut Syiah Ditahan : Anggap Mazhab Lain Halal Dibunuh

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Satu kumpulan ajaran Syiah tegar ditahan Pihak berkuasa Malaysia kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan.

Kumpulan berkenaan dilaporkan bergerak aktif di negara ini berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya.

Ketua kumpulan itu termasuk seorang warga Iran dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat semalam dan dibebaskan dengan jaminan.

Turut dibebaskan pengikut lain dengan jaminan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

Kumpulan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves dekat sini malam kelmarin, menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

Kumpulan itu dilapor menyebar fahaman memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam.

Dikatakan antara 23 penyelewengan agama diamalkan oleh kumpulan ajaran sesat itu yang dikenali sebagai Hauzah Ar Ridha Alaihissalam.

Kumpulan itu dikesan sudah dua tahun menjalankan kegiatan mereka di tingkat empat rumah kedai berkenaan.

Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa Jais pada pukul 10.15 malam kelmarin, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.

Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

Ia merupakan penahanan terbesar melibatkan pengikut ajaran yang didakwa sesat dicatatkan di Selangor setakat ini.

Jais percaya ajaran tersebut turut tersebar di negeri-negeri lain.

Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya telah mengikuti pergerakan kumpulan terbabit sejak dua tahun lalu dan setelah memperoleh cukup bukti mengaitkan mereka sebagai pengikut ajaran Syiah yang tegar, barulah markas itu diserbu.

Beliau berkata, ajaran Syiah jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara kerana pengikut yang fanatik menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir.

“Bagi mereka, darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunah Waljamaah boleh dibunuh.

“Ajaran Syiah lebih bahaya berbanding ajaran sesat seperti Al-Arqam. Pengikut Syiah di Iran dan India misalnya bergaduh sesama Islam semata-mata berbeza fahaman.

“Inilah yang ingin dielakkan berlaku di negara ini dan tujuan ia disekat,” kata beliau kepada pemberita di lokasi serbuan semalam.

Mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunah Waljamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.

Muhammed Khusrin, pihaknya percaya ajaran Syiah yang memudahkan ibadat dan menghalalkan nikah mutaah menjadi punca tarikan umat Islam di negara ini untuk menjadi pengikutnya.

Beliau berkata, kumpulan ajaran sesat terbabit mempunyai dana sendiri bagi membiayai aktiviti dan menyewa bangunan untuk dijadikan markas operasi, manakala penyebarannya pula dibuat secara tertutup melalui penganjuran majlis-majlis tertentu.

Kelmarin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata, orang Islam di negara tidak digalakkan mengahwini penganut ajaran Syiah kerana bimbang wujud konflik dalam perkahwinan terutamanya dalam aspek hak penjagaan anak sekiranya pasangan bercerai.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Perlis telah mengambil keputusan supaya peringatan diberikan kepada orang Islam berkaitan Hukum Pernikahan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan penganut Syiah.

Jawatankuasa itu telah membuat keputusan itu dalam satu persidangan pada November lalu.

“Jawatankuasa ini sebulat suara bersetuju dengan keputusan orang Islam tidak digalakkan mengahwini penganut ajaran Syiah.

“Keputusan jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 7 Disember lalu,” katanya.

-The Malaysian Insider-

No comments

Powered by Blogger.