Anwar pertahan pendirian PKR tolak konsep Ketuanan Melayu

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan pendiriannya menolak konsep “Ketuanan Melayu” sambil menjelaskan, ungkapan yang menjadi polemik itu merujuk kepada amalan “tuan dan hamba” dalam masyarakat.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu turut membidas kritikan sesetengah pihak terhadap pendirian partinya — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak konsep tersebut dengan mendakwa ia telah diputarbelitkan seolah-olah mereka tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Justeru Penasihat PKR ini mencela pemimpin-pemimpin terbabit terlalu tergopoh-gopoh dan tidak tepat dalam kenyataan dibuat mereka terhadap komponen PR itu.

“Saya berharap jika mereka mahu mempolitikkan isu ini, sama ada Umno atau Utusan Malaysia, itu hak mereka, tetapi saya berharap mereka tidak akan membohongi atau memutar belit kebenaran seolah-oalh bagi menggambarkan bahawa kami ini kurang Melayu, hanya kerana menolak konsep itu.

“Saya merasakan kenyataan mereka ini tidak tepat dan terlalu kasar,” kata beliau pada sidang media di bangunan Parlimen petang ini.

“Berhubung kenyataan oleh presiden parti (Dr Wan Azizah), yang mana bukan sesuatu yang baru, kami pernah menjelaskan sebelum ini dalam kongres PKR dan agenda ekonomi Malaysia, bagaimana kami menolak Dasar Ekonomi Baru kerana ia hanya melindungi satu segmen masyarakat kita dan orang Melayu, Cina dan India yang miskin dipinggirkan.

“Jadi kalau kita melihat pada maksud tuan dalam Ketuanan Melayu, tuan bermaksud seseorang yang ada kuasa, seseorang yang ada milikan, seseorang berada dalam keutamaan teratas. Jadi, jika Melayu adalah tuan, maka bagaimana dengan kedudukan kaum-kaum lain... Iban, Cina dan India?” katanya.

Anwar juga menjelaskan rujukan langsung tuan adalah kepada kedudukan Raja-raja Melayu, bagaimana mereka diberi gelaran “Yang Dipertuan” atau “Yamtuan” bagi menggambarkan kedudukan mereka.

Jadi, menurut beliau, berlawanan kepada ungkapan tuan ialah hamba.

“Jadi bila kita bercakap mengenai ketuanan Melayu, soalan saya ialah ini — bagaimana dengan kaum-kaum lain?” kata beliau.

Dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR Sabtu lalu, Dr Wan Azizah berkata, konsep Ketuanan Melayu harus “ditinggalkan” kerana ia hanya memperdayakan bangsa Melayu sendiri.

Beliau berkata, konsep tersebut hanya digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu.

“Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai demi kepentingan diri sendiri.

“Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi. Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan Bumiputera, masih tetap terabai,” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini sedang mengalami nasib hidup yang sangat menyedihkan.

Bagaimanapun seruan itu didakwa Umno sebagai usaha untuk meraih sokongan bukan Melayu selain cuba mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman parti itu.

Antaranya, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata justeru rakyat harus berwaspada dengan strategi terbaru parti pembangkang tersebut yang cuba “menggula-gulakan” anggota bukan Melayunya,

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) pula menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “kacang lupakan kulit” kerana meminta agar konsep “Ketuanan Melayu” ditolak.

Ketua Pemuda Perkasa Arman Azha Abu Hanifah turut menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” apabila sanggup menolak konsep tersebut semata-mata mahu meraih simpati dan sokongan daripada orang bukan Melayu.

Bagaimanapun malam kelmarin pada majlis penutup Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat, Anwar menggesa PR memperluaskan mesej konsep “Ketuanan Rakyat” di kalangan pengundi di negeri-negeri dikuasai perikatan tiga parti itu ekoran serangan Umno mengenai isu itu sejak Sabtu lalu.

Mengambil pendirian isterinya Dr Wan Azizah itu, Anwar mendakwa konsep “Ketuanan Melayu” telah diputarbelitkan oleh beberapa pemimpin elit dari Umno-BN.

“Tanggungjawab negeri-negeri (pimpinan Pakatan Rakyat) ialah untuk menegaskan pendirian dalam soal konep Ketuanan Rakyat,” kata Anwar dalam ucapan penutup Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan negeri Pakatan Rakyat di sini malam tadi.

“Ungkapan Ketuanan Melayu telah diputarbelitkan oleh satu kumpulan yang kaya raya dan orang Melayu yang berkuasa. Mereka kaya kerana dasar-dasar pro-Melayu,” katanya.

Dalam ulasan kepada The Malaysian Insider, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz melahirkan pendirian lantangnya dengan menegaskan konsep “Ketuanan Melayu” telah disalah tafsir oleh pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik.

No comments

Powered by Blogger.