Datuk Bandar MBKS nafi sertai BN

Oleh Dhia Daniel

KUCHING: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) James Chan menolak spekulasi beliau akan menyertai Barisan Nasional (BN) untuk menjadi wakil rakyat pada pilihan raya negeri akan datang.

Menurutnya, jauh di dasar hatinya ketika ini tidak terlintas difikirannya untuk menceburi bidang politik sebaliknya ingin terus menabur khidmat sebagai Datuk Bandar kepada masyarakat di bandar raya ini.

"Untuk menjadi wakil rakyat, seseorang individu tersebut mesti memiliki pemikiran politik dan saya tidak pasti sama ada ia ada dalam diri saya ketika ini.

"Bagaimanapun kita tidak pasti di masa akan datang, tetapi setakat jam ini iaitu 3.45 petang saya mahu terus menjadi Datuk Bandar dan belum berminat untuk menceburi bidang politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBKS di sini semalam.

Ditanya adakah beliau akan mempertimbangkan sekiranya ditawarkan oleh mana-mana parti komponen BN beliau berkata apa yang datang biarkan sahaja ia datang.

Katanya, setiap parti mempunyai barisan ahli dan kepimpinan yang berkaliber justeru saya yakin mereka selayaknya untuk menjadi sebahagian daripada wakil rakyat bila masa memerlukan.

"Saya tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi masa menentukan segala-galanya.

"Apa yang pasti sehingga detik ini saya tidak berminat untuk menyertai bidang politik dan mahu terus berkhidmat sebagai Datuk Bandar," ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.