PM dituntut tunai Perjanjian 20 Sabah, Perjanjian 18 Sarawak

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak hari ini dituntut agar segera menunaikan Perjanjian 20 antara Kerajaan Sabah dengan Kerajaan Malaysia yang telah dimenterai 47 tahun lalu sebelum 16 September depan.

Gesaan tersebut yang dikeluarkan dalam satu kenyataan oleh bekas calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat, Joseph Wilfred Lakai @ Rick yang juga mahukan sekurang-kurangnya separuh daripada Jabatan Persekutuan di Sabah diketuai oleh anak jati negeri itu.

"Perdana Menteri perlu secara serius melaksanakan Perjanjian 20 di Sabah sebelum 16 September tahun depan.

"Kalau tidak dapat semua, Najib sekurang-kurangnya melaksanakan separuh dari 59 Jabatan Persekutuan di Sabah dengan rakyat Sabah sebagai ketua setahun dari sekarang daripada hanya mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum kahaja," katanya.

Beliau menjelaskan pada masa ini rata-rata Jabatan-jabatan Persekutuan, Pengetua atau Guru Besar di sekolah di negeri ini dijawat oleh

penjawat dari Semenanjung sekaligus menafikan semangat Perjanjian Sabah itu. "Buat masa ini, saya difahamkan daripada 59 Jabatan Persekutuan, hanya lima sahaja diketuai oleh rakyat Sabah dan lebih 80 ketua sekolah dalam jabatan pendidikan di Sabah masih dijawat oleh Pegawai Kerajaan dari Semenanjung, yang jelas menafikan semangat dan surat Perjanjian 20 Sabah lebih 47 tahun yang lalu.

"Najib seharusnya membentangkan sasaran ini pada mesyuarat Kabinet yang terdekat untuk menunjukkan bahawa pentadbirannya serius untuk menangani kemurungan selama 47 tahun yang menyebabkan rakyat Sabah kecewa," katanya lagi.

Tanggungjawab kerajaan persekutuan

Beliau turut memberitahu ketika itu Tunku Abd Rahman berjaya memenangi hati pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak untuk menyertai Malaysia apabila dijanjikan peruntukan hak dan tanggungjawab kerajaan persekutuan terhadap dua negeri yang kaya dengan hasil buminya termasuk sumber minyak dan perhutanannya itu.

"Bapa Kemerdekaan kita Tunku Abd Rahman berjaya memenangi hati Sabah dan Sarawak untuk menyertai (Malaysia) dengan menjanjikan untuk memperuntukkan hak dan kewajipan (Kerajaan Persekutuan) spesifik kepada mereka.

"Kuasa-kuasa ini disemadikan dalam Perjanjian 20 Perkara di Sabah dan 18 Perkara di Sarawak yang dimeterai dengan Malaya.

"Oleh itu, rakyat Sarawak dan Sabah menjurus untuk mempercayai bahawa’Malaysia’ akan membenarkan mereka hak-hak yang lebih berbanding negeri-negeri anggota Malaya seperti Pahang atau Kedah dalam hubungan dengan Kerajaan Persekutuan," katanya lagi.

Bagaimanapun menurut beliau lagi, perjanjian ini semakin dilupakan walaupun fakta yang terdapat dalam perjanjian ini tidak boleh dipandang remeh termasuk perkara yang menyentuh agama dan bahasa rasmi di Sabah dan Sarawak.

“Fakta-fakta” ini bukan remeh-temeh, antaranya tiada agama rasmi negeri sama ada di Sabah mahupun Sarawak. Bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi di Sabah untuk satu tempoh yang tidak pasti.

"Sejajar dengan peredaran masa yang pantas ke tahun 2010, walau bagaimanapun, fakta serta hakikat ini nampaknya dilupakan. Tidak kira, sama ada Perjanjian 20 untuk Sabah mahupun Perjanjian 18 bagi Sarawak dipenuhi semuanya.

Kewujudan mereka diketepikan

"Kewujudan mereka diketepikan dan terpinggir dalam bentuk nota kaki ringkas dalam buku sejarah. Untuk memburukkan lagi keadaan, kita sering kali dikhabarkan bahawa ‘Malaysia’ dilahirkan pada 31 Ogos 1957.

"Kebenaran yang menyedihkan ialah negeri Sabah dan Sarawak jauh dari kesempurnaannya. Dasar pembangunan kita dan idea kenegaraan lebih berat sebelah kepada Malaya atau Semananjung," ujar beliau.

Ketika pembentukan negara Malaysia, dua perjanjian yang dinamakan Perjanjian 20 bagi Sabah dan Perjanjian 18 bagi Sarawak telah dibuat sebagai syarat penyertaaan dua negeri ini di dalam pembentukan tersebut yang ketika itu diketuai oleh Tunku Abdul Rahman.

Antara lain perjanjian tersebut menyentuh soal agama rasmi, bahasa rasmi, hak rakyat Sabah dan Sarawak terhadap tanah, hutan dan hasil bumi, kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan dan cukai sendiri, melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri, menentukan dasar pendidikan, kedudukan khas kaum peribumi di negeri-negeri ini dan lain-lain.

No comments

Powered by Blogger.