Exco Kerajaan Selangor Bidas Pusat Enggan Salur Dana

SHAH ALAM, 9 Dis – Exco Kerajaan Negeri Selangor Yaakob Sapari mendakwa kerajaan pusat mencampuri hal ehwal pentadbiran negeri apabila enggan menyalurkan peruntukan dana kerajaan pusat itu kepada kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

Yaakob mengecam tindakan kerajaan pusat yang mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP)di Selangor dan negeri-negeri lain yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat sejak Mac 2008.

Exco Kerajaan Negeri itu melahirkan pendirian kerajaan negeri itu ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Penghulu Semenanjung Malaysia, yang dirasmikan oleh Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.

“Ini tidak seharusnya berlaku. Dan, ia hanya bermula selepas pilihan raya umum ke-12 apabila Pakatan Pakatan memenangi Selangor, dan ini mengakibatkan persaingan tidak sihat,” kata Yaakob yang mewakili Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada majlis itu.

JKKKP ialah satu badan yang diwujudkan oleh kerajaan persekutuan selepas 8 Mac 2008. Ia bertindan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung sedia ada yang ditadbir oleh kerajaan negeri. Ketua kampung menjadi pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Biasanya setiap kali mesyuarat JKKK, penghulu akan turut hadir.

Di empat kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kerajaan pusat telah melantik lebih 3,000 anggota JKKKP – satu langkah yang dilihat sebagai usaha Barisan Nasional (BN) mahu mengawal pemimpin-pemimpin akar umbi di negeri-negeri terbabit.

“Ini bukan serangan ke atas Barisan Nasional atau Tan Sri,” kata Yaakob yang turut merayu kepada Muhyiddin agar membubarkan jawatankuasa persekutuan itu.

Ketika pandangan itu dikemukakan, suara Yaakob tenggelam di sebalik respons 300 penghulu yang hadir pada mesyuarat hari ini dan meminta beliau menghentikan ucapannya.

Sebilangan daripada pemimpin setempat itu bertindak demikian apabila ucapan Khalid mula menyentuh mengenai isu pembahagian peruntukan yang sama rata kepada wakil rakyat di negeri yang dikuasai Pakatan.

Beberapa orang berkenaan diperhatikan memekik “sudahlah” dan “ini bukan mesyuarat Pakatan Rakyat” apabila isu berkenaan dibangkitkan.

Bagaimanapun Adun Kota Anggerik ini meneruskan ucapan mengecam Putrajaya kerana enggan menyalurkan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Kemudian dalam ucapannya Muhyiddin berkata, kerajaan persekutuan hanya mahu memastikan peruntukan yang kewangan disalurkan kepada negeri diuruskan dengan berkesan.

Malah beliau juga memberitahu penghulu-penghulu bahawa Putrajaya juga mengekalkan pejabat pembangunan sendiri di Selangor, yang diketuai oleh Pegawai Pembangunan Negeri Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Selangor sudah pun menjadi negeri maju, tetapi kerajaan persekutuan terus menyediakan peruntukan, sebab itu kita ada Datuk Ghani di sini bagi memastikan wang dibelanjakan dengan baik,” kata Muhyiddin.

Menurut beliau, pelbagai pelantikan persekutuan di negeri itu tidak bermaksud memperlekehkan kerajaan Selangor.

“Apa yang lebih penting, bagi kami projek-projek yang telah dirancang dilaksanakan dengan baik,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucapan.

“Saya tidak melihat ada apa-apa masalah,” kata Muhyiddin.

No comments

Powered by Blogger.