Kes Aminulrasyid : Saksi utama tidak pernah melihat parang dalam kereta

SHAH ALAM, 9 Dis – Kes perbicaraan remaja yang mati ditembak polis April lalu, Aminulrasyid Amzah disambung hari ini.

Saksi utama, Muhamad Azamuddin Omar, yang merupakan rakan kepada Aminulrasyid mengesahkan dia tidak pernah melihat parang di dalam kereta Iswara itu sebagaimana yang didakwa polis sebelum ini.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani menunjukkan sebilah parang yang merupakan barang kes dalam perbicaraan itu, saksi ke-29 pendakwaan tersebut berkata beliau tidak pernah melihatnya.

Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.

Muhamad Azamuddin seterusnya berkata beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada malam kejadian bagi membersihkan nama beliau dan mangsa yang dituduh sebagai penyamun.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-28, Konstable Mohd Izham Mahayadin hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Shah Alam bahawa dia telah mengarahkan mangsa supaya menghentikan kereta yang dipandunya namun mangsa enggan berbuat demikian.

Menurut konstable Izham, kereta Iswara yang dipandu Aminulrasyid memintas laju kereta peronda yang dinaikinya di Persiaran Dato’ Menteri berhampiran dengan Kompleks PKNS.

Dia telah mengarahkan mangsa menghentikan keretanya, namun mangsa enggan berbuat demikian.

Mohd Izham memberi keterangan pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas.

Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

No comments

Powered by Blogger.